Ibrahim: Mubarak batal majlis Dr M kerana kepentingan politik
Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Kelantan (MBRK), Datuk Ibrahim Ali mendakwa Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) cawangan Kelantan membatalkan "majlis bersama Dr Mahathir' pada hujung bulan ini kerana 'kepentingan politik'.
Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Kelantan (MBRK), Datuk Ibrahim Ali mendakwa Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) cawangan Kelantan membatalkan "majlis bersama Dr Mahathir' pada hujung bulan ini kerana 'kepentingan politik'.
Ditanya mengenai kemungkinan MBRK yang diterajuinya, mengambilalih majlis yang telah dibatalkan oleh Mubarak itu, Ibrahim berkata: ''Tunggulah Dr Mahathir balik dulu."
Ibrahim juga mempersoalkan mengapa mesti pihak tertentu takut dengan kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Kelantan.
"Kritikan Dr Mahathir selama ini bukan sahaja terhadap kerajaan, malah meliputi pelbagai perkara, termasuk pembangkang dan pihak asing.
"Mengapa mesti takut dengan kata-kata beliau? Orang luar berebut-rebut mengundang Dr Mahathir berceramah, kita di sini nak menyekatnya," ujarya.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan ahli majlis Mubarak Kelantan, Datuk Rozali Isohak semalam yang mengumumkan pembatalan majlis tersebut yang sepatutnya berlangsung pada 28 Julai depan.
'Tidak berbudi bahasa'
Rozali dilaporkan berkata majlis tersebut dibatalkan kerana bimbangkan kehadiran Dr Mahathir akan dieksploitasi oleh pihak tententu.
Ibrahim yang merupakan bekas ketua Umno Pasir Mas juga menyifatkan tindakan Mubarak itu sebagai satu tindakan 'tidak berbudi bahasa' .
"Bagaimana Mubarak Kelantan boleh bersikap begini sedangkan pada awalnya mereka yang menjemput D Mahathir ke Kelantan.
"Dr Mahathir telah bersetuju meluangkan masanya untuk memenuhi jemputan mereka, tetapi kini mereka membatalkannya pula," bidas beliau.
Ibrahim berkata, alasan yang diberikan oleh Mubarak bagi membatalkan majlis itu juga tidak boleh diterima.
"Ia ibarat takutkan hujan ribut di tengah laut sedangkan perahu belum lagi berlayar. Sebagai rakyat Kelantan saya rasa terhina oleh tindakan Mubarak itu," tegasnya.
Beliau bertanya, bagaimana rakyat dan pemimpin negara ini mengatakan diri mereka sudah merdeka dan mempunyai jati diri, sedangkan mereka takut dikritik oleh Dr Mahathir.

