Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salahuddin: Elak beri undi kepada 'pelacur politik'

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengingatkan anak muda supaya mengelak daripada mengundi “pelacur politik” yang terlalu mudah dibeli dan mengubah pendirian sokongan mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebaliknya dia menasihatkan agar mereka memberi peluang kepada calon yang mempunyai integriti dan berpendirian teguh memegang mandat yang diberikan rakyat.

“Oleh kerana anak-anak muda boleh mengundi dalam PRU akan datang, saya rasa elaklah pilih mereka yang ada kecenderungan jadikan profesion politik sebagai pelacur politik.

“Sebab dah terlalu murah harga orang politik ni… boleh dibeli begitu saja - dalam tempoh semalaman - mereka boleh menukar sokongan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pulai itu turut memetik insiden di Sabah apabila sejumlah Adun yang sebelum ini menyokong kerajaan Warisan berpaling tadah untuk berada bersama wakil rakyat tunggal Umno di negeri itu, Musa Aman.

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal kemudian mengumumkan dewan undangan negeri itu dibubarkan untuk membuka laluan kepada pilihan raya umum peringkat Sabah diadakan.

Kata Salahuddin dia berharap apa yang berlaku itu menjadi iktibar dan diambil serius oleh kumpulan anak muda yang ingin melihat masa depan negara dipimpin oleh tokoh yang bersih serta mampu menjaga mandat rakyat sebaiknya.

Nak ke mana sebenarnya

“(Iaitu) yang mereka hari ni boleh lihat di parlimen, ahli-ahli parlimen bercakap secara konsisten, benar-benar menggunakan mandat yang diberikan itu untuk berjuang untuk rakyat.

“Bukannya ahli parlimen atau Adun yang mencari kesempatan 'menjual kerusi' mereka untuk kepentingan tertentu,” katanya.

Terdahulu bekas menteri itu diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Abdul Hadi, Muafakat Nasional boleh memenangi PRU ke-15 jika persaingan berlaku melalui pertembungan dua penjuru.

Kata Salahuddin, menjadi tanggungjawab Muafakat Nasional untuk memastikan mereka dapat memastikan hanya satu wakil akan diturunkan bagi menghadapi pembangkang.

Namun, katanya, kekecohan yang berlaku dalam kalangan parti kerajaan kini membayangkan sebaliknya.

"Riuh-rendahnya seakan (terdapat) lima, enam penjuru," katanya.

Pun begitu Salahuddin menjelaskan ia adalah masalah dalaman gabungan tersebut dan fokus Pakatan Harapan kini ialah untuk melihat kedudukan Perikatan Nasional (PN) selepas salah seorang ahli parlimen mereka - Najib Razak - disabitkan bersalah atas tuduhan jenayah.

Pada masa sama Salahuddin dengan secara sinis turut mempersoalkan pendirian PAS sama ada parti itu berpihak kepada gabungan Muafakat Nasional atau PN.

“Saya nak tanya PAS ni hati mereka sebenarnya dengan siapa? PN atau Muafakat Nasional?

“Hari ni cakap macam dengan PN [...] tapi pada masa sama macam ada isyarat mereka mahu bersama dengan Muafakat Nasional.

“Jadi jelaskan, ke mana mereka nak pergi sebenarnya,” kata Salahuddin. 

Lihat Komen
ADS