Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rina diasak ahli parlimen PH isu Talian Kasih, bakul makanan

PARLIMEN | Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun “diserang” beberapa ahli parlimen pembangkang berhubung isu pengagihan bakul makanan dan perkhidmatan Talian Kasih sewaktu tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Berucap pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja bagi pihak kementerian berkenaan, Hannah Yeoh (PH-Segambut) meminta penjelasan daripada Rina berkenaan isu pengagihan bakul makanan yang pernah dibangkitkannya sebelum ini.

Yeoh meminta supaya bantuan makanan tersebut dapat diselaraskan dengan bantuan daripada semua ahli parlimen - tanpa mengira pihak kerajaan atau pembangkang - sekiranya PKP dilaksanakan semula.

“Isu mengenai penyelaras yang telah dapat bakul makanan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan saya difahamkan walaupun jawapan rasmi tidak mengaku bahawa bantuan diberikan kepada penyelaras ahli politik masing-masing, tetapi (di) FB mereka - MCA Segambut, Bersatu Segambut - mereka semua paparkan bakul diterima oleh JKM,” katanya yang turut cuba menciap Rina untuk mendapatkan penjelasan.

Namun, Rina yang dilihat tidak menjawab soalan Yeoh itu berkata permohonan pengagihan itu diselaraskan oleh JKM daerah.

“Sebagai menteri JKM di bawah agensi saya, saya kena fikirkan bagaimana nak salurkan bantuan ni melalui JKM.

“Ia juga melibatkan pemimpin tempatan. Pemimpin tempatan ni bukan sahaja ahli parlimen. Siapalah saya untuk minta peruntukan untuk ahli parlimen.

“Saya bukan ketua kepada semua ahli parlimen. Jadi yang kita minta itu berdasarkan kepada jumlah parlimen,” jawab Rina.

Ada keperluan talian dibuka

Tidak berpuas hati dengan 'jawapan' tersebut, Yeoh menyifatkan jawapan Rina itu sebagai “jawapan rasmi” daripada kementerian berkenaan.

“On the ground reality (pada hakikatnya) YB menteri, pegawai JKM mendapat arahan daripada JKM Putrajaya dan JKM Putrajaya dapat (arahan) dari menteri.

“Kita sekarang tak boleh salahkan pegawai JKM daerah,” kata Yeoh.

Terdahulu isu sama turut dibangkitkan oleh Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang memberitahu tugas pengagihan itu bertukar tangan separuh jalan.

Justeru dia berharap supaya tiada kementerian lain yang cuba campur tangan tugas kementerian itu terutamanya JKM.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh

Tidak lama selepas itu, Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) mencelah dan bertanya mengenai mengapa Talian Kasih - yang merupakan talian khas untuk menyampaikan aduan terutama berkaitan penderaan dan keganasan rumah tangga - diberhentikan selama dua minggu sewaktu tempoh PKP dilaksanakan antara 18 Mac hingga 31 Mac.

Menurut Kasthuri, pihak yang menghubungi talian tersebut mendapat pesanan suara memaklumkan mereka akan dialihkan kepada talian kecemasan umum 999.

Katanya, terdapat juga ahli parlimen pembangkang, aktivis NGO dan masyarakat umum menanda Rina, JKM dan kementeriannya di media sosial untuk mendapatkan penjelasan.

“Kalau betul ada kitaran keganasan rumah tangga yang meningkat dalam tempoh PKP, maka pada masa itulah keperluan untuk Talian Kasih dibuka, tapi (sebaliknya ia) ditutup.

“Tapi selepas daripada (kecaman) yang teruk di media sosial, YB menteri sendiri keluar kenyataan menyatakan: 'Oh Talian Kasih sudah di-install' (dikembalikan semula),” kata Kasthuri.

Ahli Parlimen Pandan, Wan Azizah Wan Ismail

Pada 18 Mac, keputusan untuk menghentikan operasi Talian Kasih sepanjang dua minggu tempoh PKP dibatalkan selepas pengumuman itu dikritik banyak pihak.

Antaranya penyandang sebelum Rina, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mengatakan talian itu sebenarnya menjadi lebih penting pada saat rakyat perlu berada di rumah, serta anggota parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

 

Menjawab soalan Kasthuri itu, Rina menafikan ia ditutup selama dua minggu dan memberitahu supaya ahli parlimen berkenaan menyemak semula kenyataan berkenaan.

“Kita tak ada sampai tutup dua minggu Talian Kasih… Saya tak ingat sebab saya sendiri berada di kementerian ketika itu memastikan talian kasih ni dibuka dengan segera kerana dari hari pertama itu sahaja kita ada buat pelarasan bersama dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk menggunakan satu nombor untuk segala urusan dalam waktu PKP,” kata Rina.

Dia juga menjelaskan salah satu sebab ia tidak dapat dihubungi kerana talian tersebut mendapat jumlah panggilan yang mendadak setiap hari sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, sewaktu tempoh PKP selama tiga bulan, talian tersebut menerima 62,299 panggilan dengan 59,359 atau 96.5 peratus daripadanya berkisarkan bakul makanan.

“Begitu ramai orang yang menelefon... macam saya katakan tadi, 96 peratus berkisarkan mereka yang terjejas.

“Jadi, ketika itu kita bandingkan panggilan-panggilan yang kita terima sebelum dan semasa PKP, jumlah begitu melonjak tinggi dan kita terima sebagai contoh pada bulan April, kita terima sampai 20,305 panggilan,” katanya.

Lihat Komen
ADS