Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapa jaga ‘pak guard’? Lagi warga Nepal dakwa dipukul

Melihat rakan sekerja Nepal dipukul mencetuskan kenangan yang menyakitkan bagi Santosh Sapkota.

Mengimbau sekitar tahun 2016, bekas anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal itu tiba di Kuala Lumpur untuk memulakan tugas selama tiga tahun sebagai ‘pak guard’ atau pengawal keselamatan dengan firma Malaysia Allied Security Sdn Bhd.

Dia pulang dua bulan sebelum kontraknya berakhir sebagai seorang yang kecewa dan tidak dapat bekerja lagi.

Bercakap kepada Malaysiakini dari Kathmandu, Sapkota mendakwa dia diserang dua kali oleh pegawai atasannya pada Ogos 2019 sehingga terpaksa menjalani pembedahan dan mendapatkan rawatan di hospital serta rawatan kesihatan mental.

Allied Security mengesahkan Sapkota sebagai bekas pekerja, bagaimanapun menafikan semua tuduhan serangan fizikal ke atasnya.

Bekas pengawal keselamatan berusia 32 tahun itu melalui kerajaan Nepal bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas majikannya. Tuntutan untuk mendapatkan keadilan itu tercetus susulan timbulnya satu klip video baru-baru ini yang memaparkan seorang lelaki menggunakan baton untuk menyerang seorang pengawal keselamatan.

‘Hidup saya sudah berakhir'

Kali pertama dia dipukul, Sapkota mendakwa berlaku susulan permintaannya untuk mendapatkan cuti satu hari dari pegawai atasannya setelah bekerja 12 jam selama 30 hari berturut-turut.

Dia dipukul lagi beberapa minggu kemudian, kali ini oleh tiga lelaki termasuk pegawai atasannya.

Katanya, kali kedua dia dipukul kerana dia memaklumkan kepada Kedutaan Nepal mengenai insiden kejadian pertama.

“Kemudian dia tumbuk, tumbuk, tumbuk dan tendang dan tumbuk. Kemudian saya berdarah.

"Dia guna pisau kemudian saya lihat perut saya, berdarah," kata Sapkota cuba menjelaskan kejadian kedua itu dalam bahasa Inggeris yang mudah ketika dihubungi.

Katanya, dia tidak sedarkan diri semasa dipukul, namun kemudian berjaya bangkit untuk pulang ke tempat tinggalnya.

Rakan serumahnya kemudian menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur, dan Sapkota dimasukkan ke wad selama tiga hari serta menerima jahitan kerana luka akibat terkena pisau.

Dua bulan selepas insiden berkenaan, dia dihantar pulang kerana kecederaan dialami menghalangnya daripada menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan.

Sejak kembali ke Nepal, dia mendakwa telah menghabiskan banyak wang untuk rawatan perubatan.

Menurut laporan perubatan yang dikongsi dengan Malaysiakini, doktor mengesahkan Sapkota mengalami "stenosis tulang belakang yang ketara" dan masalah saraf tunjang.

Akibatnya, dia memerlukan pembedahan mikrodiscektomi endoskopi dan sekarang memerlukan ubat dan sesi fisioterapi. Dia juga terpaksa memakai tali pinggang lumbal setiap saat untuk menyokong tulang belakangnya.

Sapkota juga memerlukan ubat untuk mententeramkan kegelisahan.

Dia percaya masalah kesihatannya berpunca daripada dua kejadian dipukul ketika bersama Allied Security. Tegasnya dia sihat ketika pertama kali tiba di Malaysia untuk bekerja.

Sapkota yang juga bapa kepada dua anak kecil berkata, keluarganya kini hanya bergantung kepada isterinya untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Sekarang hidup saya sudah berakhir.

"Saya tidak boleh gerak, saya tidak boleh kayuh basikal. Saya mesti pakai tali pinggang lumbal (untuk tulang belakang saya), tanpa tali pinggang saya tidak boleh bergerak. Hidup saya sudah berakhir,” katanya.

'Saya kenali penyerang itu'

Baru-baru ini ketika dia menonton video seorang pengawal Nepal dipukul di Malaysia, Sapkota mendakwa dia mengenali pelaku sebagai salah seorang daripada tiga lelaki yang menyerangnya.

Dia sekali lagi meminta Kedutaan Nepal untuk menyiasat kes berkenaan dengan mendakwa pejabat itu "mengabaikan" empat permohonan rayuan sebelumnya.

Kedutaan Nepal belum menjawab pertanyaan Malaysiakini pada waktu artikel ini diterbitkan.

Dalam temu bual dengan media Nepal DCnepal minggu ini, duta besar Nepal ke Malaysia Udaya Raj Pandey menafikan tuduhan Sapkota.

Diplomat itu berkata, kedutaan telah menjalankan siasatan dan membantu membawanya pulang setelah dia mengemukakan aduannya.

Udaya juga menafikan terdapat kaitan antara kes video baru-baru ini dengan tuduhan Sapkota, selain mempersoalkan mengapa bekas pengawal keselamatan itu hanya mendedahkan kepada media setahun selepas kejadian didakwa berlaku.

Dengan bantuan undang-undang daripada NGO People Forum for Human Right, Sapkota mengemukakan aduan rasmi kepada Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Pekerjaan Luar Negeri di Nepal minggu ini.

Dia juga telah meminta firma undang-undang Malaysia, Thomas Philip untuk mewakilinya bagi menentang Allied Security .

Ditanya apa yang dia harapkan, Sapkota berkata dia ingin mendapatkan ganti rugi dan berharap kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi terhadap pengawal keselamatan warga asing di Malaysia lagi.

"Sekarang saya melihat (video) yang viral, orang yang sama, lelaki yang sama dan saya sangat marah. Saya ingat kejadian saya dan saya menangis.

“Lain kali (pengawal) keselamatan yang bertugas di sini, saya mahu semua selamat.

"Saya tidak mahu lain kali, pengawal keselamatan Nepal dipukul seperti ini," katanya kepada Malaysiakini.

'Ini bukan syarikat gangster'

Pengurus besar Allied Security Inderdeep Singh ketika dihubungi menafikan dakwaan bahawa syarikat itu melakukan serangan fizikal terhadap mana-mana pekerjanya.

Sambil menuntut bukti tuduhan itu dikemukakan, dia mempersoalkan mengapa Sapkota belum membuat laporan polis hingga sekarang.

"Saya fikir memukul (pengawal) dan semua itu bukan cara kita beroperasi. Kami mempunyai prosedur di mana kami menghukum mereka dengan cara kami mengambil tindakan tatatertib dan menggantung (tugas) mereka. Itulah yang kami lakukan.

"Ini bukan syarikat gangster, ini syarikat sah dengan lesen keselamatan," katanya.

Inderdeep percaya tindakan Sapkota itu didorong dengan tindakan syarikat yang memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya.

"Ketika saya memeriksa dengan pasukan saya, kami memiliki semua catatan (menunjukkan) dia seorang kaki botol dan dia tidak pernah bekerja. Kami banyak bertolak-ansur dengannya kerana banyak sebab.

"Dia sangat kecewa apabila kami tidak mahu memperbaharui tahun keempatnya," katanya.

Menjawab tuduhan itu, Sapkota menafikan bahawa dia meminum arak semasa bertugas sebagai pengawal keselamatan dengan syarikat berkenaan.

Dengan berpegang teguh pada tuntutannya itu, dia menjelaskan bahawa dia tidak membuat laporan polis di Malaysia mengenai insiden dipukul kerana tidak biasa dengan proses selain risau jika tidak mendapat sokongan.

Bukan kejadian terpencil

Menurut seorang aktivis buruh, insiden pengawal keselamatan dipukul yang tular baru-baru ini dan tuduhan Sapkota bukanlah kejadian terpencil.

Dengan pengalaman peribadi menangani lebih daripada 30 kes yang melibatkan pengawal keselamatan asing, anggota Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Selangor (Mapmas) Abdul Aziz Ismail berkata, serangan fizikal "biasa" digunakan untuk menghalang para pengawal daripada mengemukakan pertanyaan atau membuat permintaan.

"Saya tidak terkejut ketika menonton video tersebut. Kerana saya telah melihat ini berkali-kali, bahkan saya pernah melihat pengawal dipukul di depan mata saya, ” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Aziz, pengawal keselamatan boleh dipukul jika mereka meminta dibayar untuk kerja lebih masa dengan kadar yang ditetapkan dalam kontrak pekerjaan mereka.

Dia juga berdepan dengan kes-kes membabitkan pengawal keselamatan dipukul kerana meminta cuti dan menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan kerja.

Apa yang membolehkan syarikat keselamatan, bahkan yang sudah stabil, tidak terlepas daripada kesalahan itu adalah disebabkan amalan memberi subkontrak pengawasan langsung pekerja kepada syarikat pihak ketiga, katanya.

"Ini secara tidak langsung memberi mereka (pihak ketiga) untuk mengurus sesuai dengan sewenangnya apa yang mereka inginkan, tanpa ada tanggungjawab oleh syarikat.

"Jadi syarikat selalu terlepas," kata Aziz.

Lihat Komen
ADS