Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuasa berlebihan, Petronas bukan milik PM - Wong Chen

Wong Chen (PKR-Subang) mempersoalkan keengganan kerajaan meminda Akta Pembangunan Petroleum agar Petronas dapat bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen bagi mengekang kuasa perdana menteri ke atas syarikat minyak negara itu.

Wong berkata beliau juga pernah membangkitkan perkara tersebut berkali-kali sebelum ini sejak pentadbiran Pakatan Harapan.

“Kuasa perdana menteri berlebihan dalam Petronas. Kita perlu tunggu. Malaysia perlu menunggu perdana menteri yang sangat komited untuk melakukan perubahan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jawapan lisan yang diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berhubung soalannya pada 4 Ogos lalu.

Dalam soalan tersebut Wong meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan adakah kerajaan akan meminda Akta Pembangunan Petroleum agar Petronas bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen dan untuk mengekang kuasa perdana menteri yang berlebihan.

Jawapan bertulis daripada Mustapa berkata kerajaan sentiasa prihatin atas prinsip tadbir urus yang baik bagi sesuatu agensi kerajaan, badan berkanun atau syarikat berkepentingan kerajaan berpandukan sistem perundangan sedia ada.

“Kerajaan persekutuan sentiasa terbuka untuk meneliti perundangan dan dasar mengikut situasi dan cabaran semasa.

“Walau bagaimanapun, pada masa ini kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974,” menurut jawapan tersebut.

Wong berkata, beliau tidak meragui kualiti dan pengalaman eksekutif serta pengarah di syarikat berkenaan, malah percaya Petronas diuruskan dengan baik.

Bagaimanapun katanya prestasi Petronas akan menjadi lebih baik sekiranya terdapat semak imbang dan tiada campur tangan politik.

“Inilah asas pertanyaan saya untuk mengekang kuasa perdana menteri yang berlebihan, dan membuat Petronas bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen.

“Petronas bukan milik perdana menteri dan dengan demikian tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada perdana menteri sahaja.

“Pindaan terhadap Akta Pembangunan Petroleum lebih diperlukan sekarang, ketika Petronas dan semua syarikat minyak yang lain sedang berdepan dengan harga minyak yang mencabar,” katanya. 

Lihat Komen
ADS