Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Masih awal untuk pilihan raya mengejut tapi negeri PH bersedia'
Diterbitkan:  Aug 6, 2020 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata adalah masih terlalu awal bagi kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) mengadakan pilihan raya mengejut bagi mendapat mandat baru.

Bagaimanapun, beliau berkata kemungkinan pilihan raya mengejut di peringkat pusat tidak dapat dielakkan dan PH akan bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan itu.

"Sebenarnya di negeri-negeri Pakatan Harapan dalam kedudukan yang stabil kini cuma kurang dari tiga tahun; cuma dua tahun lebih, boleh dikatakan terlalu awal untuk mengadakan pilihan raya melainkan ada perkara yang teristimewa seperti apa yang berlaku di Sabah.

"Jadi terlalu awal untuk kita melanjutkan ulasan dengan cuma mengatakan kita akan melihat dari dekat sebarang kemungkinan dan sementara itu kita harus bersedia dengan segala kemungkinan ini," katanya kepada pemberita hari ini, mengikut satu klip video dimuatnaik oleh Buletin Mutiara.

Chow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan parlimen dibubarkan agar pilihan raya umum diadakan bersama dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Chow turut menyentuh ketidakpastian tentang bila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin mengumumkan pilihan raya.

Dari satu sudut, beliau berkata kerajaan persekutuan pimpinan Perikatan Nasional berada dalam keadaan tidak menentu kerana pertikaian antara parti komponen dan majoriti tipis yang dimilikinya di Dewan Rakyat.

Pada waktu yang sama, katanya, wabak Covid-19 dan kesan terhadap ekonomi mengakibatkan suasana yang buruk untuk mengadakan pilihan raya.

"Jadi, apa yang saya boleh cakap ialah kita akan memantau sebarang tanda-tanda untuk mengadakan pilihan raya," katanya.

Pada 29 Jul lalu, Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN negeri berkenaan bagi membuka laluan kepada PRN.

Pembubaran DUN dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin selepas satu-satunya Adun Umno di negeri itu, Musa Aman, menggerakkan cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Warisan.

Lihat Komen
ADS