Gen M sasar kawasan Parlimen Nazri dan Zahid
Gabungan penyokong bekas Perdana Menteri (Gen M) mensasar kawasan parlimen Padang Rengas dan Bagan Datuk sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke tanahair pada 20 Julai ini.
Gabungan penyokong bekas Perdana Menteri (Gen M) mensasar kawasan parlimen Padang Rengas dan Bagan Datuk sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke tanahair pada 20 Julai ini.
Aktivis Gen M atau Generasi Dr Mahathir akan turun ke Padang Rengas yang diwakili oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Bagan Datuk yang diwakili Datuk Zahid Hamidi (foto) pada 22 dan 23 Julai ini.
"Ini adalah sebahagian daripada kempen penerangan kami bagi menjelaskan kepada rakyat perkara sebenar yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir.
"Padang Rengas dijadikan sasaran kerana kita tidak mahu rakyat di sana hanya mendengar cerita sebelah pihak dari ahli Parlimennya sahaja. Bagan Datuk pula terpilih kerana Datuk Zahid telah mengkritik Dr Mahathir di Universiti Malaya baru-baru ini," jelas sumber Gen M.
Menurut sumber itu, majlis tersebut bukan untuk membalas dendam, tetapi sekadar program memberi penerangan kecil-kecilan.
"Antara lain kami akan mengedarkan risalah menerangkan pelbagai isu dan menggantung kain rentang menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri," tambahnya.
Pertemuan dengan pelajar
Nazri (foto) merupakan tokoh paling lantang menghentam Dr Mahathir sejak meletusnya krisis antara bekas Perdana Menteri itu dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi awal bulan lalu.
Beliau telah mengisytiharkan 'perang terbuka' terhadap Dr Mahathir dengan mencabar bekas Perdana Menteri itu membuktikan 'kejantanannya' dengan keluar dari Umno.
Zahid pula dikatakan telah mengkritik Dr Mahathir dalam satu perjumpaan dengan pelajar baru Universiti Malaya minggu lalu.
Sumber Gen-M itu juga memberitahu, pihaknya menerima kira-kira 2,000 permohonan untuk menyertainya semalam, selepas berita penubuhan gabungan tersebut disiarkan oleh malaysiakini.com. Sebelum ini gabungan itu hanya mempunyai 470 ahli.
Mereka memohon menyertai gabungan itu melalui e-mel yang dihantar ke lamanweb Gen-M dengan menyatakan sokongan kepada Dr Mahatahir dan mahu bersama-sama bergerak dengan gabungan tersebut.
Permohonan tersebut adalah sebahagian daripada 4,891 e-mel yang diterima semalam.
Sokongan bertambah
"Lebih separuh daripada pengirim e-mel mahu menjadi ahli dan aktivis Gen-M manakala bakinya menyatakan sokongan kepada usaha kami dan Dr Mahathir," jelasnya.
Menurutnya, sambutan hangat itu tidak diduga sama sekali kerana berita penubuhan Gen-M hanya disiarkan di laman berita di Internet, bukannya di akhbar-akhbar arus perdana.
"Ini sekaligus mematikan hujah pihak tertentu yang mengatakan krisis Dr Mahathir dan Pak Lah ini tidak dibicarakan di peringkat akar umbi.
"Ia juga menunjukkan pelbagai lapisan masyarakat menyokong Dr Mahathir dan bersetuju dengan pendapat dan kritikan beliau," katanya.
Dr Mahathir dijadualkan pulang dari bercuti di luar negeri di Lapangan Terbang Subang pada jam 8 malam 20 Julai ini.
Gen M dianggotai oleh penyokong Umno, pelajar universiti dan badan bukan kerajaan (NGO).

