Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri tak kecewa projek kereta terbang tak jadi keutamaan kerajaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof tidak kecewa kerajaan Perikatan Nasional tidak meletakkan projek mobiliti udara super drone atau lebih dikenali sebagai “kereta terbang” sebagai agenda utama.

Bagaimanapun, bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memperkenalkan projek tersebut berkata dia masih memantau pembangunan industri tersebut.

“Ia bukan agenda utama kerajaan… ia harus disokong (oleh pihak) swasta dan kerajaan sedia bantu memudahcara (pembangunan projek).

“Saya tak kecewa sebab ini inisiatif swasta. Saya masih lagi memantau pembangunan industri ini secara peribadi di pihak-pihak swasta dan saya lihat ada kemajuan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan bahawa kerajaan tidak memberikan keutamaan kepada projek tersebut dan adakah dia kecewa bahawa ia tidak menjadi agenda utama PN.

Projek tersebut sebelum ini mendapat kecaman teruk dari pemimpin pembangkang yang kini berada di berada dalam PN apabila Redzuan sebelum ini gagal menjelaskan sokongan kerajaan untuk teknologi tinggi termasuk "kereta terbang" setelah diasak dan diperlekehkan oleh anggota parlimen pembangkang.

Mohd Redzuan turut berkata bahawa negara perlu berani menerokai apa jua bidang, sambil memberikan contoh di New Hampshire, Amerika Syarikat yang menurutnya telah melancarkan industri yang sama dan negara tersebut mempunyai peraturan untuk industri tersebut.

“(Projek) ini untuk mencetus minda orang tempatan tentang teknologi terkini supaya mereka lebih peka.

“Dasarnya kita nak jadi negara pengeluar, bukan setakat negara pengguna. Esok orang dah terbang, kita masih nak beli dari luar? Itulah perubahan minda,” katanya.

Lihat Komen
ADS