Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Slim: Dr M umum peguam syarie Amir Khusyairi sebagai calon

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan seorang peguam syarie sebagai calon parti barunya Pejuang yang akan bertanding PRK Slim menghadapi calon BN, pemangku ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz.

Nama Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 diumumkan pada majlis memperkenalkan calon di Bilik Gerakan Utama Pejuang, Persiaran Slim Permata, di Slim River malam ini.

""Kita mula memperkenalkan seorang calon di Slim ini. Oleh kerana kita belum dapat tubuh parti kita, maka kita kenali sebagai calon Bebas tetapi sebenarnya adalah beliau merupakan calon parti Pejuang,

"Dengan itu saya harap segala pejuang-pejuang bangsa di Slim ini akan menyokong calon kami calon parti Pejuang. Percayalah parti ini akan pegang teguh kepada penolakan politik kewangan.

"Kalau nak jadi ahli jadi lah. Tapi parti ini tak ada duit nak dihamburkan kepada sesiapa. Kalau nak masuk nak tolong Muhyiddin dia banyak duit.

"Tapi saya harap di Slim ini kita bukan keturunan katak," katanya.

Terdahulu, pengacara majlis memperkenalkan Amir Khusyari di hadapan lebih 500 hadirin sebelum dijemput naik ke pentas utama.

Amir, graduan undang-undang UIA merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik, ayahnya, allahyarham Mohamad Tanusi Maulut ialah bekas naib kadi Teluk Intan, manakala ibunya seorang pesara guru agama.

Isteri Amir, Dr Nur Aainaa Othman pula ialah doktor pakar radiologi di Hospital Teluk Intan dan doktor pakar jemputan di hospital Slim River.

Pada majlis sama, Dr Mahathir mengumumkan nama penuh parti barunya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Majlis pengumuman calon PRK malam ini turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim Chan Lih Kang, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir, Ahli Dewan Negara Marzuki Yahya dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh.

Bekas pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga kelihatan pada majlis ini.

Sebelum ini, tercetus desas-desus mengatakan Syed Saddiq tidak akan bergabung dengan Mahathir dan pemimpin lain yang disingkir Bersatu di dalam parti baru Pejuang tetapi akan lebih memfokuskan pada gerakan anak muda.

Syed Saddiq tidak hadir pada sidang media Mahathir Jumaat lalu ketika beliau mengumumkan penubuhan parti baru yang meneruskan perjuangan asal Bersatu yang anti-rasuah dan kleptokrasi.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH dengan lambang PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, Barisan Nasional terdiri daripada 25 Umno, Bersatu (lima), PAS (tiga) sementara DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (satu) serta Gerakan (satu).

Pengundian PRK Slim akan diadakan pada 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos.

Pilihan raya kecil Slim adalah yang kedua selepas PRK Chini yang diadakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, dan juga pilihan raya pertama sejak Perikatan Nasional mengambil alih kuasa pada bulan Februari.

Ia juga pilihan raya kecil ke-12 sejak Pilihan Raya Umum 2018.



 

Lihat Komen
ADS