Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis Musang King: PH Pahang bela pekebun durian tanpa izin
Diterbitkan:  Aug 13, 2020 6:41 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Pahang menggesa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap pekebun yang mengusahakan tanaman durian secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Malah, mereka mahu pihak itu diberikan keutamaan sebagai penyewa sah berbanding memberikannya kepada pihak korporat dan syarikat swasta untuk diusahakan.

"Sekiranya kerajaan negeri membuat keputusan untuk menyewa tanah dusun durian, kenapa tidak memberi keutamaan kepada para pekebun tempatan yang telah mengusahakan dusun selama berpuluh-puluh tahun?" soal mereka.

Tiga anggota parlimen terlibat dalam kenyataan bersama itu ialah Tengku Zulpuri Shah (DAP-Raub), Wong Tack ( DAP-Bentong) dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan).

Adun yang terlibat pula antaranya Chow Yu Hui (DAP-Tras), Young Syefura Othman (DAP-Ketari) dan Lee Chean Chung (PKR-Semambu).

Semalam, kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dilaporkan akan mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos ini.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dalam kenyataan memberi amaran akan mengambil tindakan, sama ada didakwa di mahkamah atau dimusnahkan tanaman berkaitan, jika terdapat pihak yang menceroboh selepas tarikh itu.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Sallehuddin Ishak berkata Pahang rugi RM30 juta hasil cukai tanah susulan pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Akbar itu menganggarkan terdapat 4,400 hektar kawasan diusahakan secara haram untuk penanaman durian di Raub.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, 12 wakil rakyat itu berkata selama ini ramai pekebun sanggup bekerjasama dengan kerajaan negeri, malah banyak kali memohon tanah tetapi tidak mendapat kelulusan.

"Pekebun tempatan tentunya lebih berpengalaman dalam aktiviti pertanian durian, mereka juga telah awal mewujudkan pengendali mutu, rantaian pengeluaran, logistik serta eksport yang sempurna, berjalan lancar dan tersusun.

"Malangnya, kerajaan negeri tidak mengambil kira masa dan tenaga yang dicurahkan oleh pekebun tempatan, sebaliknya memilih untuk sewa tanah kepada korporat swasta yang baru ditubuhkan dan tidak pernah pun mengusahakan tanah tersebut.

"Wakil rakyat PH mengingatkan kerajaan negeri, pekebun-pekebun durian menyumbang besar kepada ekonomi tempatan dan negeri sehingga daerah Raub diiktiraf sebagai Bandar Musang King," jelas kenyataan itu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi kerajaan negeri berhubung gesaan itu.

Lihat Komen
ADS