Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin didakwa bimbang buka usul, RUU untuk pengundian

ULASAN | Cakap-cakap di kalangan pemerhati politik yang diperkuatkan oleh laporan dan analisis media arus perdana serta perbualan media sosial memberi gambaran cemas mengenai kedudukan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antaranya mengatakan yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Sejak pelantikannya sebagai perdana menteri pada 2 Mac lagi sudah timbul tanda tanya berkenaan bilangan sebenar ahli Dewan Rakyat yang menyokong beliau.

Daripada aspek teknikal, memang benar ada masanya kerajaan PN tidak mempunyai majoriti di Dewan.

Contohnya apabila kehadiran ahli kerajaan dalam Dewan Rakyat lebih sedikit berbanding pembangkang. Mengikut maklumat seorang ahli parlimen dari PH inilah yang terjadi pada hari Khamis lalu apabila beberapa orang MP Umno “absent”.

Hal ini tidak dapat dielakkan kerana PN bukan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya sebaliknya ditubuhkan melalui pemungkiran janji oleh sebahagian ahli yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei 2018.

Mereka terdiri daripada tiga kelompok, iaitu Bersatu yang menyokong Muhyiddin, PKR yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan parti-parti yang kalah PRU 2019, khususnya Umno dan Pas.

Muhyiddin hanya mendakwa mempunyai sokongan lebih besar dalam Dewan Rakyat berbanding Pakatan Harapan yang menang PRU 2018.

Tetapi beliau tidak berani mengesahkan dakwaannya itu melalui undi Dewan Rakyat. Sebaliknya perbahasan usul tidak percaya yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mei lalu sama ada gagal diadakan atau sengaja dilambat-lambatkan.

Kelebihan dua undi - 111 vs 109

Apa yang berlaku ketika perbahasan mengenai penggantian Yang di-Pertua Dewan pada 13 Jun lalu tentunya menambah ketakutan Muhyiddin.

Beliau hanya menang dengan kelebihan dua undi, iaitu 111 lawan 109. Secara tidak langsung, pengundian itu memberi gambaran berkenaan kekuatan atau kelemahan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan PN.

Sejak beberapa hari lalu, timbul cakap-cakap bahawa kerajaan Muhyiddin amat bimbang dan keberatan untuk membuka sebarang usul atau rang undang-undang kepada pengundian kerana takut apa yang berlaku pada 13 Jun itu akan berulang atau menjadi lebih teruk.

Tetapi ada pihak mengatakan pengundian tidak dapat dielakkan kerana ada rang undang-undang penting bersabit perbelanjaan dan kewangan negara terpaksa diluluskan segera.

Pada hemat saya, wakil-wakil pembangkang akan menyokong rang undang-undang ini bagi mengelak negara daripada mengalami krisis belanjawan.

Rasanya yang lebih membimbangkan Perdana Menteri adalah pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 29 Julai lalu yang parti itu tidak akan menyertai PN walaupun “masih menyokong kerajaan”.

Sebaliknya beliau menekankan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

Pengutamaan MN dan peminggiran PN oleh Umno terserlah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Chini, Pahang 4 Julai lalu dan di Slim River, Perak sekarang di mana Umno dan Pas meletakkan seorang calon sahaja.

Walaupun Bersatu tidak bertanding demi memberi laluan kepada Umno dan Pas, ia juga tidak dilayan sebagai rakan kongsi yang setaraf. Ikut cerita, wakil Bersatu tidak pun dijemput ke majlis memperkenalkan calon PRK Slim River.

Di Chini, feksyen Bersatu yang disingkirkan menyokong calon bebas, Datuk Seri Tengku Zainul Hisham. Walaupun kalah, bilangan undi yang beliau peroleh lebih baik daripada calon-calon bebas sebelum ini.

Pada 12 Ogos, Dr Mahathir telah mengumumkan penubuhan parti baru, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan meletakkan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi untuk bertanding di Slim River.

PRK ini akan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai persaingan baru politik. Kawasan ini lebih bersifat pelbagai kaum berbanding Chini yang merupakan kubu Melayu.

Calon Umno akan disokong oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu. Calon bebas (Pejuang) akan disokong oleh sebahagian atau semua parti-parti PH.

Walaupun jurucakap dan strategis Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memperlekeh penubuhan Pejuang, saya yakin Muhyiddin tahu bahawa sokongan terhadap Bersatu sedang terhakis.

Hamzah yang menang PRU 2018 atas tiket BN telah melompat menyertai Bersatu dan menjadi antara penggerak utama penubuhan kerajaan PN. Beliau dipetik sebagai berkata: “Enam orang meninggalkan Bersatu, 20,000 memohon menyertainya.”

Dengan latar belakang di atas dan banyak lagi perkembangan yang kurang positif dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi, tidak hairanlah kalau Muhyiddin takut untuk mendedahkan kedudukannya kepada sebarang bentuk pengundian.

Tetapi beliau tidak boleh mengelak diri daripada menghadapi kemungkinan itu buat selama-lamanya. Hari penentuan akan tiba juga lambat-laun. Wallahualam.


A KADIR JASIN merupakan tokoh wartawan dan pernah menjadi penasihat media Dr Mahathir Mohamad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS