PRK SLIM | Calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili parti baru Pejuang yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata persoalan calon anak tempatan tidak penting, sebaliknya kredibiliti seorang calon lebih penting dalam memilih Adun Slim nanti.

"Memang betul saya tidak mengundi di sini. Soal berasal mana tidak penting. Yang penting kredibiliti calon.

"Buat masa ini, pada saya apa yang lebih yang penting, saya mengajak pengundi-pegundi di slim ini memilih calon yang mempunyai kredibiliti.

"Yang kedua, calon yang anak muda dan calon yang mampu menawarkan khidmat yang terbaik kepada pengundi-pengundi di DUN Slim," katanya kepada pemberita selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan nama calon yang layak bertanding di Dewan Seri Tanjong, Bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim, hari ini.

Terdahulu, Amir seorang peguam syarie diminta mengulas dakwaan Umno sebelum ini yang mengatakan bahawa pengundi Slim perlu menolak Amir atas faktor beliau bukan berasal dari Slim sebaliknya dari Teluk Intan.

Amir, graduan undang-undang UIA merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik, ayahnya, allahyarham Mohamad Tanusi Maulut ialah bekas naib kadi Teluk Intan, manakala ibunya seorang pesara guru agama.

Pada PRK kali ini, Amir bertanding menggunakan lambang "pokok" dengan namanya tersernarai pada nombor satu di atas kertas undi.

Beliau akan menghadapi calon BN Timbalan Ketua Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz.

Sementara itu, seorang lagi calon bebas ialah ahli akademik Santharasekaran Subramaniam yang menggunakan logo "buku" disenarai pada nombor tiga kertas undi.

Ditanya lagi, Amir mengakui beliau telah keluar dari parti Bersatu atas dasar prinsip dirinya.

"Benar. Saya ahli Bersatu sebelum ini. Tapi, saya pendapat apabila saya mengambil pendirian untuk menjadi calon Bebas, walaupun saya merupakan ahli Bersatu sebelum ini.

"Tapi rasa bahawa saya berpegang kepada prinsip dan saya percaya bahawa lanskap politik kita banyak yang perlu dibetulkan terumatanya memperbetulkan apa yang kami rasa tidak betul," katanya.

Dr Mahathir yang juga bekas pengerusi Bersatu telah mengumumkan menubuhkan parti baru Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas tidak sehaluan dengan presidennya Muhyiddin Yassin.

PRK Slim merupakan medan pertama Dr Mahathir dan penyokongnya untuk menguji kekuatan parti baru yang diumumkan itu.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Sementara itu, Amir memberitahu bahawa beliau memilih simbol "pokok' kerana ia mempunyai makna tertentu kepada dirinya.

"Saya memilih lambang pokok. Itu pun selepas undian dibuat di mana calon Bebas (Santharasekaran) pun memilih Pokok.

"Selepas membuat undian, logo itu pokok itu menjadi milik saya.

"Kami memilih untuk menggunakan simbol pokok, bagi saya simbol pokok itu kami ingin gambarkan kepada pengundi-pengundi di Slim bahawa akar pokok itu mencengkam tanah maknanya menunjukkan asas pendirian kami yang kuat," katanya.

"Manakala pokok dan daun-daun itu merimbun, kami akan melindungi dan membantu semua pengundi di Slim," tambahnya lagi.

 

Lihat Komen
ADS