Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M jarakkan diri dengan peranan peguam kes pengampunan diraja Anwar
Diterbitkan:  Aug 17, 2020 3:58 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Dr Mahathir Mohamad menjarakkan dirinya dengan peranan peguam Haniff Khatri Abdulla dalam tindakan undang-undang untuk mengenepikan pengampunan diraja yang diberikan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 2018.

Dalam kenyataan media hari ini, pejabat Dr Mahathir berkata Hanif mewakili bekas perdana menteri itu dalam pelbagai kes sejak 2015, tetapi dia bukanlah peguam peribadinya.

"Kes-kes lain (yang tiada kaitan dengan Mahathir) yang dikendalikan olehnya adalah di atas keputusan dan pilihannya sendiri dan ini termasuklah kes saman difailkan peguam

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh diberikan terhadap Anwar.

"Kes tersebut dan keputusan Haniff untuk menjadi peguam di dalam kes tersebut tidak ada kena mengena sama sekali dengan Mahathir," menurut kenyataan tersebut.

Haniff mewakili Khairul Azam yang memfailkan saman pada 26 Februari lalu untuk mengenepikan pengampunan diraja terhadap Anwar berkaitan sabitan terhadap kes liwat.

Ketika perbicaraan, Haniff berkata Lembaga Pengampunan memberikan nasihat yang salah bahawa pengampunan turut meliputi sabitan liwat.

Peguam veteran itu menggesa mahkamah mendengar saman utama untuk menilai penghujahan berkenaan sejumlah isu yang boleh dibicarakan berkenaan perkara tersebut.

Khairul Azam

Menurutnya, ia termasuklah dakwaan Lembaga Pengampunan yang dibentuk secara tidak betul serta nasihat salah berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan pengampunan.

Haniff menegaskan permohonan anak guamnya bukan untuk mencabar kuasa Agong dalam memberi pengampunan tetapi berkenaan nasihat salah Lembaga Pengampunan terhadap bidang kuasa Agong menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyebut:

“Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.”

Peguam Kanan Persekutuan Natrah Idris, yang mewakili Lembaga Pengampunan, pula berkata Agong menggunakan kuasanya seperti yang diperuntukkan dalam perkara tersebut dengan betul.

Dia kemudian memohon tambahan masa untuk menyediakan penghujahan yang lebih mendalam berkenaan kuasa Agong dalam memberi pengampunan. Mahkamah membenarkan permohonan itu.

Peguam Anwar, J Leela pula dalam hujahannya berkata, permohonan pembatalan perlu dibenarkan memandangkan plaintif tiada locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk meneruskan tindakannya.

"Tuntutan saman plaintif adalah remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah," katanya seperti dipetik Bernama.

Mahkamah Tinggi menetapkan 21 September ini untuk keputusan berhubung permohonan pembatalan saman tersebut.

Mahkamah juga menetapkan 21 Ogos ini untuk peguam Lembaga Pengampunan dan Anwar memfailkan hujahan bertulis lanjut berhubung bidang kuasa Agong menurut Perlembagaan dalam memberi pengampunan, dan berkenaan sama ada Lembaga Pengampunan dibentuk secara betul atau tidak.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS