Amanah mempersoal sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan duta khas ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang, yang terus membisu terhadap isu perjanjian damai dua hala di antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel.
Justeru anggota Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil, bertanya adakah sikap itu ada kaitan dengan dakwaan kerajaan membeli kemudahan perisikan daripada syarikat siber dari negara Yahudi berkenaan.
“Namun, yang menjadi persoalan ketika ini ialah sikap membisu kerajaan PN berhubung pendirian mereka terhadap perjanjian UAE-Israel.
“Tidak ada sebarang kenyataan mahupun pendirian yang dikeluarkan oleh kerajaan PN berhubung perkara ini.
“Sikap membisu juga ditunjukkan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang, yang masih belum memberikan kenyataan mahupun menyatakan pendirian mengenai perjanjian berkenaan.
“Adakah Malaysia terperangkap dengan pembelian alat perisikan Isreal Senpai baru-baru ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 13 Ogos, Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota UAE Mohammed Zayed bersetuju memeterai perdamaian yang dikenali Perjanjian Abraham.
Duta khas kena berperanan
Ia dikecam banyak pihak kerana dianggap satu lagi langkah menekan serta mengabaikan perjuangan rakyat Palestin mendapatkan hak mereka di tanah air sendiri.
Antaranya Palestin, Turki dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seluruh dunia.
Kata Faiz, memandangkan Malaysia merupakan sebahagian daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sewajarnya Putrajaya menyatakan pendirian tegas mengutuk perjanjian tersebut.
“Ke mana hilangnya identiti kerajaan Melayu-Islam apabila PN masih membisu untuk menyatakan pendirian tegas mereka bagi mengutuk perjanjian yang nyata tidak memberikan keuntungan kepada umat Islam khususnya di Palestin,” kata Adun Permatang Pasir itu lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh menggesa PN menasihatkan Abu Dhabi menarik semula perjanjian tersebut dan mempersoalkan peranan Abdul Hadi dalam isu tersebut.
“Amatlah wajar duta khas turut memainkan peranan penting dalam mempamerkan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara pendukung keamanan dan keadilan mendepani konflik Palestin-Israel,” katanya yang juga pengerusi PKR Johor.
Ia dibuat sempena penyerahan petisyen ahli-ahli parlimen Malaysia yang mengecam rancangan rampasan tanah Palestin di Tebing Barat oleh Tel Aviv kepada Kedutaan AS dan Palesin semalam.
“Tidak memadai sekadar untuk menghormati hak kedaulatan UAE sedangkan implikasinya ialah kepada pengukuhan penguasaan AS dan Israel di Timur Tengah di sebalik tindakan sepihak yang terus menindas hak kedaulatan dan keadilan negara serta rakyat Palestin,” katanya.
