mk-logo
Berita
Laporan: Syarikat Israel bantu Najib intip pembangkang pada 2018
Diterbitkan:  May 29, 2020 11:06 AM
Dikemaskini: 7:11 AM

Dokumen-dokumen mahkamah di Israel mendedahkan syarikat siber Senpai Technologies menandatangani perjanjian bernilai AS$1.5 juta untuk membekalkan kemudahan intipan kepada polis Cawangan Khas (SB) Malaysia.

Ia dikatakan bagi membantu perdana menteri ketika itu Najib Abdul Razak memantau pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-14.

Laman berita teknologi Israel CTech melaporkan, kerajaan Malaysia menantangani perjanjian itu bagi mendapatkan sistem untuk mengumpulkan maklumat dan menganalisis data kegiatan orang awam.

Dokumen-dokumen berkaitan diperoleh dan disemak oleh Calcalist, sebuah harian kewangan terkemuka Israel.

Sistem itu dikatakan dibangunkan oleh Senpai Technologies Ltd.

Perjanjian itu dilapor ditandatangani pada April 2018, sebulan sebelum BN yang dipimpin Najib ketika itu kecundang kali pertama dalam sejarahnya.

Rundingan itu menggunakan kod nama “Project Magnum.”

Menurut dokumen tersebut, rancangan pentadbiran BN pimpinan Najib untuk sistem Senpai tidak dirahsiakan daripada syarikat itu dan penggunaan sistem itu untuk “penyiasatan politik" disebut secara khusus dalam surat-menyurat e-mel dalaman.

Senpai, yang ditubuhkan pada tahun 2015, telah membekukan aktivitinya di tengah-tengah pemfailan kebankrapan dan tuntutan saman antara para pengasas firma itu.


BACA BERKAITAN: Najib: Tanya Dr M, perjanjian firma intipan Israel 3 kali ganda bawah PH


Pada pertengahan tahun lalu, syarikat tersebut dilaporkan sedang membincangkan kemungkinan kontrak baru dengan polis Cawangan Khas Malaysia, yang mempunyai implikasi baru selepas kekalahan Najib pada PRU14.

Objektif pengawasan dibayangkan akan berubah selepas pilihan raya daripada penyiasatan politik kepada penyiasatan terhadap jenayah-keganasan.

“Pelanggan mendapat dokumen dan kami sedang menunggu responsnya,” kata pengasas dan ketua jualan Senpai, Roy Shloman merujuk "Magnum" dalam e-mel yang dikirimkan kepada pengasas bersama Guy David, Omri Raiter, dan Eric Banoun (gambar, bawah) pada 10 Jun 2019.

"Seperti yang kamu tahu, selepas pilihan raya banyak perkara berubah dan menjadi sedikit rumit," tulis Shloman.

"Mengenai proses pengurusan pelanggan dan berdasarkan beberapa perbincangan atas talian (conference call) yang lalu dengan mereka, saya fikir kami patut mengadakan kunjungan ke KL.

"Tujuan utama perjalanan ke itu untuk bertemu klien (secara bersemuka), mengadakan sesi soal jawan dan menyediakan mereka beberapa panduan (tip) dan helah (trick)," tambahnya.

Katanya, tujuan utama lawatan ke Kuala Lumpur itu bertujuan bertemu dengan klien secara bersemuka sambil mengadakan beberapa sesi soal jawab, serta memberikan beberapa tips kepada klien mereka dalam memaksimumkan sistem tersebut.

Dalam cadangan fasa dua perjanjian selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, Banoun menghitung rundingan itu dianggarkan bernilai antara AS$300,000-AS$ 400,000 daripada SB, antara AS$2 juta dan AS$2.5 juta daripada Pejabat Perdana Menteri, antara AS$800,000 dan AS$2.2 juta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan jumlah yang serupa daripada pasukan polis.

CTech adalah laman berita teknologi yang dikendalikan oleh Calcalist. Ia merupakan sebahagian daripada Yedioth Ahronoth Group, yang juga menerbitkan Yedioth Ahronoth, surat khabar dengan edaran paling luas di Israel.

Malaysiakini sedang menghubungi Najib, Cawangan Khas, SPRM dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan penjelasan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS