Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rimas, rimaslah saya - IGP ulas kes liwat terbaru
Diterbitkan:  Aug 18, 2020 6:51 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyuarakan rasa kurang enak berhubung dakwaan liwat terbaru melibatkan seorang ahli politik pembangkang terkemuka.

Kes berprofil tinggi ini merupakan yang kedua ketika PDRM di bawah teraju beliau. Kes pertama membabitkan Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali.

"Rimas, rimaslah saya dalam hal-hal macam ini.

"Ia membuang banyak masa. Tetapi oleh kerana satu laporan polis telah dibuat dan satu kertas siasatan telah dibuka," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial hari ini.

Tuduhan liwat itu dibuat dalam akuan berkanun (SD) bertarikh 29 Jun lalu yang memperincikan hubungan seksual seorang lelaki dengan ahli politik itu di beberapa hotel pada 2013.

Dia turut mendakwa bahawa atas permintaan ahli politik itu, dia juga memperkenalkan seorang kawannya kepada ahli politik berkenaan dan kedua-duanya melakukan hubungan seks.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan lelaki itu juga dikatakan telah memfailkan satu laporan polis mendakwa berlaku manipulasi tetapi tidak dapat disahkan.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah merekodkan kenyataan pesuruhjaya sumpah mengenai hal itu.

"Di mana pesuruhjaya (sumpah) afidavit itu dibuat telah diambil kenyataan," katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan pihak polis sedang merekod kenyataan daripada lelaki yang membuat SD itu.

Malaysiakini sudah menghubungi Pesuruhjaya Sumpah yang bertanggungjawab terhadap SD, yang mengesahkan bahawa SD berkenaan telah difailkan dan ditandatangani di hadapannya.

"Ya, SD dibuat oleh orang yang menandatangani dokumen itu," katanya dalam pesanan teks.

Malaysiakini juga menghubungi pengadu. Dia mengesahkan bahawa laporan polis dibuat tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

"Saya sangat tertekan. Kes ini dalam siasatan polis. Biarkan PDRM (polis) menjalankan tugas mereka," katanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi ahli politik itu untuk memberi komen mengenai tuduhan tersebut.

SD itu pertama kali diterbitkan di blog Malaysia Today pada hujung minggu.

Pada bulan Januari tahun ini, Hamid memaklumkan kes video melibatkan Azmin, yang ketika itu timbalan presiden PKR, masih terbuka.

Ini walaupun Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan perkara tersebut dengan alasan resolusi video itu terlalu rendah sehingga identiti mereka yang terlibat tidak dapat dipastikan.

Pada masa itu, kemunculan video itu dikaitkan dengan perebutan kuasa dalam PKR antara Presidennya, Anwar Ibrahim dan Azmin.

Selain tuduhan liwat, polis juga terpaksa menangani tuduhan Anwar melakukan serangan seksual.

Pada 14 Januari tahun ini, Jabatan Peguam Negara mengumumkan tiada tuduhan yang akan dikenakan terhadap Anwar kerana kekurangan bukti.

 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS