Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1,372 perempuan Islam, 293 bukan Islam kahwin bawah umur pada 2018
Diterbitkan:  Aug 19, 2020 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

PARLIMEN | Seramai 1,665 perempuan bawah umur berkahwin pada 2018, berdasarkan data yang dikeluarkan kerajaan menerusi jawapan balas Parlimen, semalam.

Daripada jumlah tersebut, 1,372 orang beragama Islam daripada pelbagai kaum manakala 293 orang lagi adalah bukan Islam.

Bagi lelaki pula, data tersebut menunjukkan seramai 191 lelaki bawah umur berkahwin pada 2018, di mana 170 orang merupakan beragama Islam dan 21 bukan Islam.

Sebelum ini, dilaporkan data untuk 2017 menunjukkan seramai 1,845 orang berkahwin bawah umur - melibatkan 968 orang bukan Islam dan 877 orang Islam.

Menurut data 2018 lagi, 1,314 perempuan bawah umur beragama Islam yang berkahwin pada tahun itu adalah Bumiputera, kaum Cina (5), India (3) dan lain-lain (50).

Pecahan umur untuk perempuan bawah umur beragama Islam pula menunjukkan 831 orang telah berkahwin pada usia 17 tahun, 408 (16 tahun) dan 101 orang (15 tahun).

Hanya Bumiputera yang mencatatkan perkahwinan di bawah usia 15 tahun iaitu 29 orang pada usia 14 tahun, seorang (13 tahun) dan dua orang (12 tahun).

Bagi kategori bukan Islam pula, 174 yang berkahwin di bawah umur adalah Bumiputera, diikuti Cina (92), India (17) dan lain-lain (10).

Bagi kategori itu, 167 perempuan berkahwin pada usia 17 tahun dan 95 orang ketika 16 tahun.

Hanya Bumiputera bukan Islam yang mencatatkan perkahwinan di bawah usia 16 tahun, iaitu 23 orang (15 tahun), tujuh orang (14 tahun) dan seorang (13 tahun).

Data tersebut disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam jawapan terhadap soalan daripada Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang bertanya tentang status pelan strategi kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur, status jawatankuasa pemandunya dan usaha kerajaan berhubung tujuh negeri yang membantah penetapan had umur perkahwinan daripada 16 ke 18 tahun.

Anggota Parlimen DAP itu turut bertanya bilangan lelaki dan perempuan yang berkahwin di bawah 18 tahun mengikut pecahan umur antara pasangan, negeri dan jantina pasangan serta kaum dan agama.

Menurut jawapan kementerian, pihaknya komited meneruskan usaha menangani isu perkahwinan bawah umur melalui pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020 sehingga 2025.

“Pelan ini mengandungi pelbagai program dan tindakan yang akan dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi untuk menangani enam faktor yang telah dikenal pasti sebagai punca perkahwinan bawah umur,” katanya.

Pelan itu dirangka ketika pentadbiran PH melibatkan 61 agensi di peringkat kerajaaan persekutuan serta negeri.

Pada November lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tujuh negeri - Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan - tidak setuju untuk meminda undang-undang berkaitan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS