Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Larang perkahwinan bawah umur: 7 negeri setuju, tujuh lagi tak setuju

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KPWKM Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata draf itu akan membabitkan pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

Katanya, pelan tersebut mengandungi program tindakan melibatkan 61 agensi di peringkat kerajaaan persekutuan serta negeri dan dijangka dibentangkan dalam memorandum jemaah menteri hujung tahun ini.

“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam usaha untuk mengekang perkahwinan bawah umur iaitu melalui perundangan dan mengenal pasti punca-punca berlakunya perkahwinan bawah umur.

“Undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa Negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua - Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Justeru, menurut beliau, kerajaan persekutuan masih memerlukan persetujuan kerajaan negeri sebelum boleh melaksanakannya.

"Draf pindaan sedang dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Manakala Enakmen / Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan hanya boleh dipinda sekiranya negeri-negeri bersetuju dengan cadangan pindaan tersebut," katanya.

Wan Azizah berkata demikian semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) tentang usaha kerajaan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Menurutnya, undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum Syarak, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam jadual kesembilan, bahagian dua - senarai negeri, perlembagaan persekutuan.

Beliau berkata, sehingga kini hanya negeri Selangor yang telah meminda enakmen berkenaan sementara Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.

"Lima negeri lain yang telah bersetuju untuk meminda adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.

"Masih terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan berkaitan iaitu di Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

"Manakala, bagi bukan Islam pula, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk meminda peruntukan berkaitan had umur pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

Katanya, ini adalah kerana undang-undang sedia ada telah diperuntukkan dengan jelas had umur minimum pendaftaran perkahwinan bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun.

"Pengecualian hanya diberikan kepada perempuan berumur 16 dan 17 tahun yang perlu mendapat kebenaran daripada ketua menteri atau menteri besar," katanya.

Tambah Ahli Pandan itu bahawa pengecualian ini walau bagaimanapun, ditangani melalui mekanisme kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditambah baik bagi permohonan perkahwinan bawah umur dan telah mula berkuat kuasa pada 22 Ogos lalu.

Syed Ibrahim sebelum itu menyoal mengapakah kerajaan masih belum berupaya untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi membanteras isu perkahwinan bawah umur.

Malah katanya, Indonesia baru-baru ini berjaya melaksanakan undang-undang untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 19 tahun bagi perempuan.

Wan Azizah kemudiannya menjelaskan bahawa pindaan undang-undang telah dilaksanakan oleh Indonesia, dan dipersetujui sebulat suara kerana keputusan boleh dibuat secara berpusat tanpa memerlukan persetujuan daerah atau parlimen negeri.

"Walau bagaimanapun, ingin saya memperjelaskan bahawa pindaan perundangan Indonesia ini masih membenarkan perkahwinan di bawah umur 19 tahun dengan melalui proses mahkamah serta mengemukakan justifikasi yang kukuh," katanya.

Lihat Komen
ADS