Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong, PM pun jalani kuarantin 14 hari - Timb menteri kesihatan

PARLIMEN | Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang dalam soal pematuhan SOP Covid-19, terutamanya apabila melibatkan nyawa manusia.

Jelas beliau, malah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menjalani kuarantin 14 hari.

Begitu juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga mengkuarantin kendiri di rumah sebelum ini, katanya lagi.

“Berkenaan SOP yang dilanggar ini, ‘there is no one above the law’. Sebab undang-undang yang dibuat ini bukan untuk mendera sesiapa tetapi undang-undang ni dibuat untuk menyelamatkan negara, menyelamatkan nyawa manusia - khususnya di negara kita ni.

“Jadi kalau kita lihat semasa Covid-19 ini, malah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan YAB Perdana Menteri sendiri telah melalui fasa HSO (Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah) iaitu kuarantin di rumah dan siapa saja yang melanggari sekarang ni kita kenakan kompaun RM1,000,” katanya di Dewan Rakyat hari ini sewaktu sesi waktu pertanyaan menteri.

Timbalan menteri kesihatan menjawab soalan tambahan daripada Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR - Setiawangsa), yang bertanya mengenai orang kenamaan (VIP) seperti menteri yang tidak mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19.

Nik Nazmi juga menyoal sekiranya golongan atasan dan orang kenamaan perlu dikenakan kompaun yang lebih besar.

Meskipun, tidak menyatakan nama menteri berkenaan tetapi ia dipercayai merujuk kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan semua individu dari luar negara menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Noor Azmi berkata, berdasarkan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 342 Seksyen 25 kompaun yang dikenakan adalah RM1,000.

“Tetapi kalau ada kes contohnya kes-kes yang lebih serius, yang telah dijalankan oleh pihak polis umpamanya… maka ini terpulang kepada agensi yang seterusnya. Contohnya pihak polis dan juga peguam.

“Kalau kes melalui Seksyen 24 dihadapkan ke mahkamah, mereka akan buat keputusan yang selayaknya untuk sesuatu kesalahan yang dilakukan tidak kira sesiapa pun,” katanya.

Semalam, polis memaklumkan kertas siasatan telah dibuka selepas menerima 27 laporan terhadap menteri itu.

Sementara itu, Penasihat Kesihatan Umum Kepada PM, Dr Jemilah Mahmood berkata tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang ingkar arahan kuarantin wajib di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu diambil oleh agensi penguat kuasa seperti polis dan bukannya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk rekod, Sultan Abdullah dan Permaisuri Tunku Hajah Azizah menjalani kuarantin selama 14 hari selepas Istana Negara mengesahkan tujuh petugasnya positif Covid-19.

Pada 22 Mei lalu, perdana menteri menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari susulan kehadirannya dalam mesyuarat pascakabinet di PMO di Putrajaya turut dihadiri seorang pegawai yang positif Covid-19.

Beliau melalui proses kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

PMO pada ketika itu berkata meskipun ujian saringan mengesahkan Muhyiddin negatif, namun menurut perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), beliau perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Lihat Komen
ADS