Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN l Segelintir penyokong Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali tidak boleh menerima kritikan. Seperti biasa keluarlah perkataan seperti bodoh dan tali barut DAP.

Kenapa bersikap denial? Baru enam bulan merasai nikmat kuasa kita sudah lalai. Belum lagi 22 bulan.

Janganlah berfikiran lapuk. Bila dikritik itu dianggap pecah-belah. Tetapi buat salah tidak dianggap menjejaskan imej jemaah.

Apa pun 27 laporan polis telah dibuat terhadap Khairuddin kerana melanggar kuarantin wajib 14 hari.

Elok Khairuddin membersihkan namanya di mahkamah.

Ia juga dapat meredakan kegusaran rakyat kerana terdapat mereka yang didakwa dan dikenakan denda yang tinggi seperti Makcik Gelang. Bolehlah Khairuddin menjelaskan kenapa dia tidak pakai gelang.

Kenapa langgar kuarantin sampai dua belas kali? Apakah status negatif virus boleh jadi alasan untuk bergerak bebas?

Mahkamah juga boleh mempertimbangkan sama ada memulangkan gaji empat bulan itu boleh meringankan hukuman jika didapati bersalah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mohd Mazri Yahya juga menggunakan alasan yang sama.

Menuru beliau, tidak pernah berlaku dalam sejarah, seorang menteri memulangkan gaji apabila melakukan kesalahan.

Bagaimana jika nanti kalau ada pegawai di kementerian Khairuddin mohon potong gaji supaya tidak dikenakan tindakan tata tertib?

Sementara itu, AJK Kerja PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menasihatkan Khairuddin “jangan merana dan hampa” dengan ujian Allah. “Terima dan nikmatinya dengan iman dan taqwa”.

Justeru, berlapang dadalah kalau Khairuddin didakwa di mahkamah.

Kalau hukumannya berat, Khairuddin akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan menteri. PRU 15 nanti bertandinglah semula.

Seperti mana nasihat Nik Abduh, terima dan nikmatinya dengan Iman dan taqwa.

Setidak tidaknya nama baik kerajaan Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) dan PAS tidak tercemar.


DR MOHD PUAD ZARKASHI ialah anggota Majlis Tertinggi Umno, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan bekas ahli parlimen Batu Pahat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS