Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri 'pengkhianat' juga beri kontrak rundingan terus, kata Lim
Diterbitkan:  Aug 27, 2020 2:41 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Empat pemimpin utama Bersatu terlibat dalam kontrak kerajaan yang diberikan tanpa tender terbuka ketika menjadi sebahagian daripada pentadbiran PH, menurut bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata, ia berdasarkan senarai 101 kontrak bernilai RM6.61 bilion yang dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam.

Berikut senarai empat pemimpin Bersatu, yang juga masih berjawatan menteri, yang didakwa Lim:

  • Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ketika itu menteri dalam negeri Nilai keseluruhan kontrak RM517.7 juta.
  • Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, yang juga memegang jawatan sama sebelum ini. Nilai keseluruhan kontrak RM170.8 juta.
  • Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu dan kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Nilai keseluruhan kontrak RM1.2 juta.
  • Rina Harun, ketika itu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan kini berjawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Nilai keseluruhan kontrak RM7.36 juta.

Pada sidang media hari ini, Lim berkata keempat-empat menteri itu sepatutnya benar-benar tahu perihal kontrak rundingan terus itu kerana ia dibangkitkan dalam kabinet.

Ini termasuk projek berskala besar seperti menaiktaraf kemudahan infrastruktur landasan berkembar elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2), yang merangkumi 67.7 peratus daripada keseluruhan RM6.61 bilion jumlah yang nyatakan Tengku Zafrul.

"Sama ada menteri pengkhianat itu berbohong, tidur semasa mesyuarat kabinet atau terlalu sibuk merancang 'Langkah Sheraton ', hanya mereka yang tahu," katanya.

Setakat ini, Muhyiddin, Rina dan Azmin belum memberi sebarang komen mengenai pendedahan Tengku Zafrul.

Bagaimanapun Zuraida mendakwa dua kontrak rundingan terus yang diberikan kementeriannya pada masa itu dibuat di luar pengetahuannya.

Satu kontrak bernilai RM170.3 juta untuk pembinaan stesen pelupusan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur. Ia diberikan kepada Bumi Segar Sdn Bhd.

Bagaimanapun ada yang menunjukkan bahawa Zuraida mengunjungi stesen pelupusan sampah pada tahun 2019 dan ia dikongsi di laman Facebooknya.

Projek kedua untuk penyelenggaraan sistem kewangan dan perakaunan kementerian bernilai RM501,206 yang diberikan kepada Century Software (Malaysia) Sdn Bhd.

Sementara itu, Lim menggesa Tengku Zafrul agarmenyatakan jika ada sebarang salah laku berhubung kontrak rundingan terus oleh pentadbiran PH dan juga BN.

Katanya, Tengku Zafrul mengakui bahawa rundingan terus dibenarkan dalam situasi yang sangat spesifik seperti perkara yang melibatkan krisis, keselamatan negara atau melibatkan pembekal tunggal.

"Zafrul harus telus mengenai kontrak pemberian terus semasa era BN dan yang paling penting, bersikap telus mengenai kontrak pemberian terus yang disetujui olehnya sendiri.

"Dia harus membuktikan bahawa kontrak-kontrak ini dilakukan dengan baik dan untuk kepentingan umum. Biarkan masyarakat menilai pentadbiran mana yang bertanggungjawab dan telus," kata Lim.

Anggota Parlimen Bagan itu turut mendesak supaya kerajaan tidak mengamalkan sikap double standard dengan hanya meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kontrak ketika pentadbiran PH, sebaliknya turut menyiasat kontrak rundingan terus ketika era BN.

[Baca berita asal] 

Lihat Komen
ADS