Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mungkin Ku Li lupa Umno, PAS ada ahli bukan Melayu - Annuar
Diterbitkan:  Aug 29, 2020 10:44 AM
Dikemaskini: 6:09 AM

Setiausaha Agung BN Annuar Musa menolak gesaan penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah supaya menteri Umno keluar dari kabinet setelah Bersatu memutuskan untuk membuka pintu keahlian partinya kepada bukan Melayu.

Dalam beberapa siri ciapan, Annuar berkata mungkin Razaleigh lupa bahawa tidak semua ahli Umno dan PAS ialah orang Melayu atau penganut Islam.

"Mungkin Ku Li terlupa Umno dan PAS sendiri mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam.

"Dasar dan piagam MN jelas, kita meraikan kepelbagaian kaum dan Malaysia yang majmuk," katanya yeng menulis hantaran itu dengan ejaan huruf besar.

Annuar juga berkata sentimen perkauman secara terang-terangan tidak lagi sesuai dengan politik Malaysia.

PAS diketahui mempunyai ahli muslim Cina dan India serta mempunyai sayap penyokong untuk orang bukan Islam.

Sementara itu, Umno pula mempunyai ahli Bumiputera Kristian dari Sabah di antara barisannya, selain anggota keturunan India Muslim.

Semalam, Razaleigh berkata tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)".

Minggu lalu, Bersatu mengumumkan rancangan menubuhkan sayap parti yang akan membolehkan anggota bersekutu bukan Bumiputera memegang jawatan.

Idea muncul berikutan kemasukan bekas pemimpin PKR Azmin Ali dan penyokongnya ke dalam Bersatu pada hari Ahad.

Sebahagian penyokong Azmin, termasuk sebilangan besar bukan bumiputera.

Langkah Bersatu juga mencetuskan rasa tidak senang MIC, yang mempersoalkan mengapa penyokong Azmin dari kalangan bukan Melayu tidak boleh menyertai MIC atau MCA.

Sementara itu, mengulas isu berkaitan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan tampil membalas kritikan Tengku Razaleigh dengan menyifatkan Umno telah lama membuka keahlian kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Begitu juga PAS katanya, juga telah lama membuka keahlian kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam, malah parti itu mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebagai platform rasmi bagi kumpulan itu.

Jelasnya, PAS dan Umno membentuk MN tanpa ada sesiapa yang mempersoalkan wujudnya ahli-ahli bukan Melayu dan bukan Islam dalam kedua-dua parti tersebut.

"Tidak ada sesiapa yang tiba-tiba terbangun dari tidur bercakap mengenai 'Pakatan Melayu Islam' yang eksklusif.

"Kerana jika itulah pegangannya, maka MN sendiri tidak akan dapat diwujudkan oleh kedua-dua parti yang memang telah ada ahli bukan Melayu dan bukan Islam.

"Perlembagaan Bersatu sejak dari awal penubuhan lagi membolehkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menyertai parti. Tidak ada perbezaan dengan Umno dan PAS. Jadi janganlah mencipta cerita sensasi yang sebenarnya tidak wujud," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Wan Saiful, apa yang penting ialah melaksanakan pergerakan ke arah penyatuan agar kestabilan politik dalam negara dapat dikembalikan bagi menjaga nasib rakyat.

Lihat Komen
ADS