Malaysiakini
BERITA

Kemelut Musang King: MCA dan DAP 'berlumba' tenangkan pekebun

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Ogs 2020, 2:50 tengahari

Pergeseran antara pekebun durian di Raub, Pahang berubah menjadi isu politik selepas parti dari kedua-dua belah dilihat 'berlumba' dalam memberi bantuan.

Namun, memandangkan isu itu dikaitkan dengan kerabat diraja, ini juga bermaksud mereka harus melangkah dengan hati-hati.

Perkembangan ini hadir di sebalik spekulasi bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bakal melaksanakan pilihan raya umum mengejut buat meraih kekuatan berbanding majoriti tipis yang dipegang hari ini.

Pertikaian timbul ketika Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR) yang berkaitan dengan kerabat mengadakan usaha sama dan kini menuntut kembali ribuan ekar tanah dari apa yang didakwa sebagai petani durian haram.

Sebilangannya memang pekebun haram tetapi yang lain yang tidak berlesen adalah sebahagian daripada skim pertanian yang dilancarkan oleh Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) dari Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) pada tahun 1970-an tetapi kemudian dilupakan.

Pekebun durian mendakwa mereka kini dipaksa masuk ke skim usaha sama antara PKPP dan Royal Pahang Durian Resources (RPDR).

Susulan dakwaan itu, MCA Pahang semalam membentuk sebuah jawatankuasa yang bertujuan untuk "menjaga hak" pekebun.

Jawatankuasa itu diumumkan oleh ketua jawatankuasa perhubungan MCA Pahang, Hoh Khai Mun dengan berhati-hati untuk tidak menyatakan secara spesifik kebun durian, sebaliknya bertujuan untuk menyelesaikan masalah pertanian secara umum untuk Pahang.

Dia mendapat sokongan pusat dengan kehadiran Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon.

 

“Kami berasa kerajaan negeri Pahang akan memperolehi penyelesaian lebih baik dalam menyelesaikan pertikaian ini jika komunikasi lebih baik terjalin antara pihak berkepentingan.

“Melihat perkembangan isu ini, kami telah memutuskan untuk membentuk jawatankuasa bagi berunding dengan lebih berkesan dengan kerajaan negeri Pahang bagi mencari penyelesaian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

MCA Pahang difahamkan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri dan juga merupakan sebahagian dari kerajaan Pahang, menjadikannya dilihat lebih sesuai untuk mencari jalan penyelesaian buat pekebun durian.

Berdasarkan laman web PRDR, ia menamakan anak perempuan Yang Di-Pertuan Agong, Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai presiden.

Tidak mahu ketinggalan, DAP Pahang - yang disokong pemimpin pusat - juga telah menziarahi pekebun durian hari ini dan menubuhkan jawatankuasa kebangsaan diketuai timbalan pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji untuk meneliti isu ini.

 

“Kita akan menyiasat latar belakang isu ini dan kita akan lihat bagaimana syarikat boleh dipanggil ‘royal’,” kata ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata dengan menggunakan nama ‘royal’ ia akan memberi satu persepsi bahawa pekebun durian kini menentang ‘royalty’ (kerabat diraja).

“Ia beri satu persepsi tidak benar bahawa rakyat menantang royalty (kerabat diraja). Tidak ada tentang royalty tetapi untuk keadilan,” katanya.

Lim turut menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk datang ke kebun berkenaan dan cuba memahami masalah mereka.

Lim juga menyorot bahawa tiada tiada menteri kabinet setakat ini yang cuba menyelesaikan perkara itu.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 28 Ogos membenarkan perintah penggantungan sementara terhadap kerajaan negeri Pahang yang sedang berusaha untuk menuntut kembali tanah ladang sementara menunggu perbicaraan semakan kehakiman pada 28 Oktober.

Sementara itu, Tengku Zulpuri berkata dia telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar negeri itu Wan Rosdy Wan Ismail untuk menggesa campur tangannya.

“Menteri besar secara tak langsung kata akan pertimbangkan. Jadi atau tidak, saya tidak tahu.

“Saya telah hantar surat rasmi kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengadap bagi mencari penyelesaian menang-menang supaya penduduk ini tidak dianiayai," katanya.

Zulpuri juga berkata adalah kejam untuk menggelar pekebun berkenaan sebagai peneroka haram kerana mereka telah tinggal di kawasan itu.

“Mereka dah duduk sini lama, sudah ada tanaman lama, tak timbul lagi penerokaan haram. Nak ikut maklumat, peneroka ini telah mendapat pinjaman Bank Pertanian 1986.

“Jika tanah itu haram, macam mana boleh dapat pinjaman dari bank,” katanya.

Tambahnya, perkara ini juga tidak wajar diperkatakan sebagai “isu orang Cina” kerana pekebun Melayu juga terkesan.

“Tindakan kena ambil secara menyeluruh,” katanya.

 

Isu tersebut menjadi antara tumpuan sorotan akhbar Cina sementara kumpulan hak asasi Melayu sayap kanan seperti Isma juga mempersoalkan mengapa MCA terlibat, dengan menyifatkan bahawa perkara itu adalah kes "jelas" pencerobohan haram.

Bagaimanapun, Malaysiakini telah melakukan tinjauan kawasan dan mendapati kebanyakan pekebun Cina antara yang bersuara lantang membantah manakala pekebun Melayu juga terkesan dengan “skim penempatan” itu.

Mohamad Ali, 80, yang merupakan bekas ketua kampung antara penduduk yang terkesan.

Mohamad telah menyelesaikan isu Kampung Sungai Chalit sejak 1979 di bawah skim LKPP tetapi hak tanah masih tidak pernah diselesaikan.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.