Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MB: Kilang punca gangguan air Selangor, KL disita dan dikenakan kompaun
Diterbitkan:  Sep 4, 2020 3:11 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Premis perindustrian Sungai Gong yang dipercayai menjadi punca gangguan bekalan air di Selangor kini telah dikenakan kompaun dan disita oleh kerajaan negeri, kata menteri besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata kertas siasatan juga telah dibuka terhadap kilang penyelenggaraan jenter berat milik Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd itu,

“Tindakan sewajarnya telah diambil di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan dan menyokong agar pindaan dilaksanakan utk hukuman di peringkat Persekutuan,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Sementara itu, menurut Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian berkata, kilang tersebut didapati pesalah berulang.

"Setiap kali penyelenggaraan, mereka keluarkan minyak hitam dan ia akan mengalir ke Sungai Gong,” katanya seperti dipetik TV Selangor.

"Kali pertama berlaku beberapa bulan lalu di mana kilang sama telah dikompaun Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak RM60,000," katanya lagi.

Hee Loy Sian (tengah)

Gangguan bekalan air terbaru, yang bermula semalam, menjejaskan 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (Luas), pihaknya sudah melakukan siasatan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan beberapa agensi lain berikutan penutupan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) kerana pencemaran.

“Buat masa sekarang, ujian bau dilaksanakan di premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan pelarut ke dalam sungai,” kata Luas.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) pagi tadi menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan tegas terhadap kilang di Sungai Gong itu.

Ketuanya Shahir Adnan berkata, tindakan seperti menutup premis perindustrian terbabit dan menarik balik lesen operasi wajar dilakukan agar kejadian seumpamanya tidak akan berulang lagi.

“Keadaan hari ini menunjukkan mereka yang merosakkan sungai kita seakan-akan tidak mempedulikan tindakan undang-undang, mungkin kerana terlalu ringan buat mereka atau tiada penguatkuasaan yang ketat oleh pihak PBT.

“Penutupan kilang selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kerja-kerja pembersihan, serta notis amaran dilihat gagal membendung masalah ini. Tindakan lebih keras wajar dikenakan agar tidak berulang,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Lihat Komen
ADS