Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naik taraf AADK sebelum tempatkan penagih dadah - Dr Dzul

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) perlu dinaik taraf dari segi beberapa aspek sebelum menempatkan penagih dadah ke pusat pemulihan terbabit.

Dzulkefly berkata demikian bagi mengulas cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berhasrat untuk meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kepada Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan bagi menempatkan penagih dadah di AADK dan bukannya di penjara lagi.

Jelasnya, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh AADK adalah untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi merawat pesakit terbabit.

"Berkenaan penempatan di pusat AADK, pandangan saya sekiranya yang ditahan di pusat serenti, tidak dilabel sebagai penjenayah, itu suatu langkah yang sangat baik, (takut akan terkena kesan stigma).

"Selain itu AADK boleh bekerjasama dengan KKM untuk rawatan di pusat serenti. AADK kalau dapat berperanan sebagai tempat pemulihan dan rawatan (kerjasama dengan KKM) maka itu juga sangat baik," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Selain itu, Dzulkefly yang juga merupakan anggota parlimen Kuala Selangor turut menyambut baik hasrat kerajaan untuk membantu penagih dadah tersebut.

"[....] Sedikit demi sedikit, kita cuba untuk pisahkan kesalahan ketagihan dadah dari jenayah yang lainnya dengan memberi rawatan kepada mereka

"Di akhir nanti bila kita menyahjenayahkan ketagihan dadah, lebih ramai penagih di luar sana, khususnya yang tidak ditangkap akan keluar untuk mendapatkan rawatan," katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said (gambar, atas) ketika menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat Ogos lalu, memaklumkan  langkah penukaran penagih dadah dari penjara ke AADK itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Tambahnya, tindakan itu juga dilihat mampu mengurangkan kesesakan di penjara di seluruh negara yang turut menempatkan banduan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid turut menyambut baik hasrat kerajaan untuk memindahkan penagih dadah dari penjara ke AADK.

Jelasnya, perkara itu juga dapat mengurangkan perbelanjaan Jabatan Penjara Malaysia.

Kos makan RM41 seorang di Penjara Marang

"Kita lihat baru-baru ini KDN ada dedahkan makanan untuk banduan sehari RM10, di penjara Marang malah RM41 ringgit sehari.

"Pindahkan pesakit ketagihan dadah boleh bantu kurangkan kos penjara," katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin sebelum ini mendedahkan bahawa kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM630,480 sebulan dan setahun hampir RM230 juta untuk kos makanan penghuni penjara di Malaysia.

Mengulas lanjut, Rusdi (gambar, atas) senada dengan Dzulkefly, berkata beberapa fasiliti AADK perlu ditambah baik sebelum kerajaan bertindak demikian.

"Kalau AADK hendak ambil juga, mereka kena tukar cara pendekatan, kena ada lebih doktor dan pakar psikatrik untuk merawat.

"Sekarang ini juga hanya ada dua tiga doktor, sama sahaja macam di penjara," katanya.

Bagaimanapun, Rusdi berpendapat selain AADK, penagih dadah juga seeloknya dirawat secara komuniti - di klinik atau di hospital kerajaan.

"Kalau boleh dalam AADK pun jangan, sepatutnya penagih ini diletakkan di hospital kerajaan atau klinik bukannya dalam pusat tahanan Serenti. Rawat mereka secara komuniti," kata pakar psikiatrik di Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu lagi.

Untuk rekod, Klasifikasi Penyakit Antarabangsa WHO pada 1994 menyatakan masalah ketagihan pada sesuatu bahan merupakan sejenis gangguan mental, ini termasuklah kebergantungan terhadap alkohol dan dadah (sama ada yang haram atau dengan preskripsi doktor).

Lihat Komen
ADS