mk-logo
Berita
63,048 banduan, kos makan sehari RM10 seorang
Diterbitkan:  Sep 4, 2020 4:48 PM
Dikemaskini: 5:32 PM

Kerajaan membelanjakan sebanyak RM630,480 sebulan dan setahun hampir RM230 juta untuk kos makanan penghuni penjara di Malaysia.

Ini berdasarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin bahawa terdapat sejumlah 63,048 orang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara di seluruh negara berdasarkan statistik Jabatan Penjara setakat 17 Ogos lalu.

Hamzah dalam jawapan bertulis hari ini terhadap pertanyaan lisan oleh senator Radzi Sheikh Ahmad di Dewan Negara turut memberitahu kos makanan sehari ialah RM10 bagi seorang banduan.

"Kos penyediaan makan minum bagi seorang banduan adalah RM10. Penyediaan makan minum banduan juga tertakluk kepada skala diet yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," kata menteri itu.

Radzi (gambar, bawah) pada sidang Dewan Negara Isnin lalu bertanya jumlah banduan mengikut negeri dan sekiranya kerajaan bercadang untuk menambah kos makan minum penghuni penjara memandangkan kos bahan mentah dan kos bahan langsung kian meningkat.

Menjawab soalan itu, Hamzah berkata "buat masa sekarang, Jabatan Penjara Malaysia tidak bercadang untuk menambahkan kos bagi penyediaan makan minum banduan."

"Makanan bagi banduan disediakan oleh banduan terpilih dari segi kesihatan dan kecenderungan mereka dengan penyeliaan oleh pegawai penjara sebagai satu bentuk latihan kemahiran," jelasnya.

Untuk rekod, media tempatan pernah melaporkan bahawa kos makanan seorang banduan di Penjara Marang, Terengganu adalah sebanyak RM41 sehari .

Pegawai Unit Sajian Penjara Marang, Penolong Penguasa Penjara, Suhardi Ali, dipetik BH Online pada 18 Julai 2019 berkata kos makan minum banduan di penjara itu untuk lima kali sehari iaitu sarapan pagi, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

Pegawai Unit Sajian Penjara Marang, Penolong Penguasa Penjara, Suhardi Ali, berkata hidangan makan minum itu disediakan oleh banduan di Unit Sajian Penjara Marang, yang setiap hari memasak bagai untuk kenduri untuk 2,700 banduan di situ.

Menteri dalam negeri dalam jawapan bertulisnya juga memberitahu rekod penghuni penjara mengikut negeri.

Di semenanjung Malaysia, Selangor mencatat jumlah penghuni penjara paling tinggi seramai 12,259 orang, diikuti Perak seramai 6,302 orang dan Johor seramai 5,861 orang.

Kedah pula menempatkan seramai 5,311 orang, diikuti Melaka seramai 4,774 orang.

Sementara itu, terdapat 4,571 orang penghuni di negeri Pahang, Kelantan seramai 4,306 orang diikuti Pulau Pinang pula menempatkan seramai 4,231 orang dan 3,131 orang di negeri Terengganu.

Terdapat 1,665 orang penghuni di Negeri Sembilan dan 1,392 banduan di Perlis.

"Jumlah penghuni penjara yang ditempatkan di penjara zon Sabah dan Sarawak masing-masing adalah berjumlah 5,962 orang dan 3,283 orang," kata Hamzah.

Lihat Komen
ADS