Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam meniti arus kemodenan berteraskan sains dan teknologi maklumat marcapada ini, tanah air tercinta milik semua anak watan, Malaysia mengalami perkembangan cukup pesat dan mantap, daripada aspek ekonomi, politik dan sosial.

Isu-isu berkenaan anak muda mudi senantiasa dibicarakan, dipolemikkan dan dibahaskan di mana jua, dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara hinggalah ke kedai-kedai kopi.

Masyarakat perlu berusaha sedaya upaya untuk membudayakan norma baharu pada era pasca-Covid agar kesejahteraan dan kelangsungan kehidupan dapat dijamin.

Bagi mengulas topik belia di era pasca-Covid, kita mesti mengetahui dan cakna dalam penghayatan definisi dan maksud ataupun hikmah biarpun tersurat mahupun tersirat yang terkandung dalam tajuk tersebut.

Umum mengetahui bahawa belia dikategorikan sebagai seseorang yang berada dalam lingkungan umur 18 tahun hingga 30 tahun, selepas pindaan yang dibuat ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia semasa sidang kedua Dewan Rakyat yang berlangsung dari 1 hingga 18 Julai 2019.

Di samping itu, rra pasca-Covid-19 pula boleh ditakrifkan sebagai situasi negara selepas tamatnya apa-apa jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rakyat beralih ke satu era baharu di mana penggunaan Internet dan teknologi adalah norma baharu.

Belia berperanan penting dalam membaiki apa yang mengalami kerosakan dan memulakan semula langkah Malaysia ke arah yang lebih progresif dan maju menjelang masa hadapan yang tidak menentu.

Sama-samalah kita menyantuni ucapan Presiden Replubik Indonesia yang pertama, Soekarno (bawah), yang mengatakan:

“Beri aku 10 pemuda, maka akan kugoncang dunia.”

Kita dapat menyedari betapa pentingnya peranan dan impak yang mampu belia terajui dalam sesebuah negara melalui ucapan ini.

Pemuda sejati, harapan negara, Malaysia Baharu, kemakmuran bersama.

Persoalannya, apakah sebenarnya sifat mahupun karakteristik yang perlu pada belia Malaysia pascapandemik yang cukup dahsyat ini?

Pada hemat saya, kebolehan untuk berkekal sihat, tabah dan daya tahan (resilience) dalam apa jua keadaan selain kemampuan menghayati dan membudayakan norma baharu untuk menjadi salah satu teras hidup yang penting.

Sebagai mukadimah perbicaraan ilmiah, belia seharusnya perlu melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan secukupnya dalam menempuhi dan mengharungi kehidupan abad ke-21 yang penuh onak duri dan ombak yang bakal mengoncang jiwa dan semangat juang.

Zaman pasca-Covid ini amatlah menguji tahap kesabaran seseorang terutamanya graduan universiti dan belia kerana kami sedia maklum bahawa kadar pengangguran semakin tinggi kerana kehendak pasaran kerja yang rendah dan ekonomi yang meleset pasca Covid.

Kadar pengangguran

Mengikut Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin dalam satu laporan berita, kadar pengangguran Malaysia pada bulan Mei 2020 adalah terus meningkat kepada 5.3 peratus iaitu 826100 penganggur dicatatkan.

Penguasan dan kepakaran dalam bidang akademik adalah sangat diperlukan dan disanjung tinggi oleh kesemua lapisan masyarakat kerana percayalah bangsa membaca, bangsa berjaya.

Sistem pendidikan di negara Malaysia sudah lengkap dengan berbagai-bagai mata pelajaran yang akan dapat membentuk modal insan yang cukup cemerlang dan impresif untuk menyumbangkan jasa dan tenaga mereka kepada tanah tumpah darahku kelak nanti.

Contohnya, seseorang belia perlu menetapkan sasaran yang ingin dicapai oleh mereka dalam kehidupan khususnya menjurus kepada bidang akademik.

Mereka perlu betul-betul memahami apa tujuan sebenarnya mereka berada dalam bilik darjah, apa maknanya mereka mempelajari subjek-subjek ataupun mata pelajaran tertentu.

Tetapi, ingatlah, kita tidak sepatutnya menjadikan keputusan peperiksaan sahaja sebagai kayu pengukur ataupun petunjuk-petunjuk prestasi utama.

Banyak aspek yang boleh dinilai dan diintepretasikan dalam diri seseorang belia di alaf baharu ini seperti kemahiran insaniah, sikap dan disiplin di sekolah, tahap keefisienan menyiapkan kerja-kerja, kepatuhan murid kepada peraturan sekolah, dan banyak lagi.

Secara ringkasnya, negara kita akan menghasilkan pelbagai pakar yang berprestij apabila remaja pada alaf ini memahami kewujudan mereka dan menggalas tanggungjawab dengan sepenuh hati dan jiwa secara begitu tulus ikhlas dalam menjalankan kewajipan sebagai seorang pelajar pasca-Covid dan bertekad untuk menjadi nafas baru dalam menerajui Malaysia.

Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri Cina. Remaja sebenarnya mampu belajar tentang pelbagai bidang dan skop yang luas terutamanya apabila mereka berada di sekolah menengah dan menara gading.

Remaja juga harus sedar bahawa proses pembelajaran ini adalah berlangsung seumur hidup dan tanpa batasnya.

Kita wajar pelajari sikap dan akhlak mulia tokoh Cina, Kong Zi, yang mengatakan belajar selalu tak ada habisnya, yang perlu dikhawatirkan adalah kalau semua yang sudah dipelajari hilang sama sekali tanpa bekas.

Sebagai contoh, seorang remaja mampu mengetahui sejarah Malaysia dan serba sedikit berkenaan sejarah negara lain, Perang Dunia, Zaman Renaissance dan serba banyak ilmu sejarah yang merupakan antara detik yang paling mustahak dan penting pada ketika itu.

Rombongan tuntut kemerdekaan

Melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek Sejarah ini, barulah belia dapat mengetahui lalu menghayati proses dan sumbangan rombongan tokoh Malaysia ke London untuk menuntut kemerdekaan bumi ini tanpa pertumpahan darah, sejarah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Sistem Raja Berperlembagaan, Sistem Demokrasi negara dan lain-lain ilmu.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) turut melakar 10 lonjakan yang berteraskan kepada golongan belia.

Maka, saya percaya dengan sistem pendidikan Malaysia yang terus maju dan berkualiti, sudah tentunya anak watan kita akan mengembang secara holistikal dan komprehensif dalam abad yang serba maju dan canggih ini.

Wahai, para anak muda, belajarlah sejarah, belajar dari kesilapan silam dan jangan mengulanginya pada masa hadapan.

Anak-anak muda , ambillah pesanan George Santayana yang mengingatkan masyarakat tentang kepentingan belajar sejarah:

“Sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”.

Demi negaraku, demi dirimu, belajarlah sejarah mulai dari sekarang.

Selain itu, umum mengetahui bahawa virus Covid-19 ini telah melanda dunia tanpa batasan.

Seseorang belia Malaysia yang mengalami zaman pandemik covid ini sudah tentulah akan mengetahui cita rasa terpaksa berkurung di rumah semasa PKP yang diumumkan oleh perdana menteri demi kemaslahatan semua pihak.

Belia seharusnya memahami, menjunjung tinggi dan meletakkan kepentingan nasional serta negara sebagai prioriti dan keutamaan mereka pada bila-bila masa sahaja.

Belia negara patutlah peka dengan dasar-dasar, polisi-polisi dan isu-isu semasa di dalam negara dan di luar negara serta arah tuju negara Malaysia kerana semua dasar berhubung kait rapat dengan kehidupan mereka dan akan memberikan kesan secara langsung atau tidak langsung ke atas diri belia.

Maka, belia boleh tekun membaca surat khabar, ataupun boleh melayari Internet untuk mendapatkan maklumat berkenaan dasar dan polisi terbaharu negara tercinta ini.

Kita sepatutnya menyedari bahawa kita sedang berada dalam zaman Internet of things, Internet ibarat bank maklumat yang mengandungi pelbagai jenis bahan-bahan ilmiah mahupun bukan ilmiah.

Wahai, anak-anak muda, rajinkanlah diri, carikanlah maklumat, gunakanlah masa cermat, kerana pemergian masa berlaku pada setiap saat.

Biar kita mengambil contoh, Dasar Belia Negara (DBM) adalah satu bentuk dasar yang menjurus kepada kepentingan dan pembangunan karakter belia.

8 karakter belia

Dasar ini menggariskan empat cabaran utama kini dan masa hadapan iaitu aspek politik, ekonomi, sosial dan teknologi.

Bukan itu sahaja, DBM ini turut menyenaraikan lapan karakter utama yang sepatutnya ada pada seseorang belia iaitu optimis tentang masa depan yang diselubungi kebimbangan, rajin, cenderung kepada teknologi, pengguna yang dinamik, berorientasikan keluarga, cenderung ke arah konservatif, beragama, dan juga tidak dilupai, sedia untuk didekati.

Isu yang hangat dipolemikkan pada kebelakangan ini adalah isu pembayaran upah dan elaun kepada pelatih industri di sektor awam.

Kata Imam As-Syafie, ilmu itu bukan yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat.

Banyak isu dan perkembangan terkini di Malaysia yang sepatutnya diambil perhatian oleh rakyat khususnya belia seperti isu pencemaran air dan bau di negeri Selangor yang mengakibatkan gangguan air kepada penduduk, majlis pemeteraian RTS, Rang Undang-Undang IPCC, cadangan Akta Sewaan Kediaman serta topik-topik lain yang berunsur kepentingan rakyat dan juga nasional.

Ingatlah, bacalah, ketahuilah sebanyak mungkin berita, janganlah jadi katak di bawah tempurung satu hari nanti jika leka dalam dunia maya dan Internet ini. Secara ringkasnya, belia di alaf baharu ini sewajarnya giat mengambil tahu, menyelidik, dan menghayati aspirasi nasional dan isu berkepentingan nasional.

Selanjutnya, seseorang belia di zaman pasca-Covid ini harus melengkapkan diri sendiri dengan kemahiran dalam bidang teknologi.

Kita sedia maklum bahawa negara Malaysia sedang mengalami pembangunan dari segi ekonomi, sosial, kapital manusia dan pembinaan infrastruktur yang cukup pesat, sejurus dengan pelan ekonomi Malaysia.

Rakyat Malaysia amat bertuah kerana kami dipimpin oleh pemimpin yang berkaliber di mana pembangunan negara akan berdasarkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Sebagai langkah persediaan menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat dan dunia IT ini, pihak kerajaan yang berpandangan jauh telah mengambil inisiatif mengukuhkan dan menggalakkan pelajar untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar TVET, Sijil Kemahiran Malaysia dan kursus lain yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran diri.

Para belia yang sedang belajar, mahupun menyumbangkan tenaga dan masa sebagai dalam pasaran sebagai pekerja berkolar biru ataupun berkolar putih jua, patut mengambil tahu bahawa kita sedang mengalami Revolusi Perindustrian 4.0.

Dalam Industri 3.0, teknologi itu tidak berhubung secara langsung dengan manusia tetapi sekarang dalam Industri 4.0, ia sudah pastinya ada hubungan dua hala antara manusia dan peralatan elektronik yang menjadikan manusia itu sebahagian dari teknologi.

Alaf Malaysia Baru

Data dari manusia digunakan untuk peralatan elektronik itu menjalankan fungsinya dengan lebih baik seperti apa yang berlaku dalam telefon pintar, televisyen pintar, rumah pintar dan sebagainya.

Maka, apa yang boleh belia pada alaf Malaysia Baharu jalankan adalah dengan bergiat aktif untuk menceburi diri dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan dunia sains dan inovasi yang cukup memberansangkan.

Hal ini demikian kerana ia adalah sangat penting dan signifikan untuk seseorang belia menguasai ilmu berkenaan ICT ini supaya dapat meningkatkan daya saing diri dalam mengharungi dunia/alam pekerjaan dan dunia ini yang sering berubah-ubah dari semasa ke semasa.

Dunia masa kini banyak menggunakan teknologi yang serba canggih, pengaplikasian kecerdasan buatan (artificial intelligence), realiti maya (virtual reality), augmented reality (AR), pembentangan Powerpoint dan sebagainya.

Tenaga pengajar seperti profesor, guru sekolah boleh menggunakan AR untuk menambahkan kualiti dan keberkesanan suasana pembelajaran dan mengukuhkan lagi pengetahuan yang mendalam pelajar terhadap sesuatu topik yang dianggap susah dan bosan dipelajari.

Sebagai contoh yang lanjut lagi, peningkatan permintaan graduan IT dalam dunia kerja ini dapat dilihat.

Mengikut liputan berita yang tepat lagi sahih dari The Star, Program Digital Malaysia 2020 telah meletakkan target dan sasaran untuk menghasilkan 160,000 pekerjaan nilai tinggi dengan tambahan pendapatan RM 7000 per tahun untuk 350,000 penduduk.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan menjadi kumpulan sasaran utama negara ini menjelang tahun 2020.

Dalam pada 2018, jumlah permintaan untuk pakar IT adalah dijangkakan pada 134,438.

Sebagai perbandingan, pada tahun 2014 pula, terdapat kekurangan 5800 pakar sains komputer dan IT walaupun terdapat permintaan sebanyak 13300 tenaga pakar.

Maka, melalui data dan statistik ini oleh The Star, kita dapat membuat satu ringkasan bahawa peningkatan permintaan pakar IT dalam pasaran adalah menunjukkan tanda yang cukup positif.

Di sana, sama-samalah kita sebagai belia negara aktifkanlah penglibatan diri dalam bidang TMK ini kerana maslahat yang akan dinikmati oleh semua belia adalah cukup berbaloi.

Bukan itu sahaja, dalam mengejar kekayaan dan kedarjatan duniawi masa kini oleh sesetengah ahli masyarakat, remaja yang berada di alaf pasca-Covid mestilah mempunyai pegangan agama yang menjadi pedoman dan panduan kehidupan mereka.

Agama ini bertindak sebagai benteng pertahanan yang paling kukuh dalam sanubari belia.

Dunia ini terdapat berlambak-lambak cabaran yang akan menguji kesabaran dan ketekadan para belia.

Setiap ajaran agama adalah baik dan bertujuan untuk memastikan penganut agamanya menuju ke arah yang positif dan cerah.

Seseorang akan menjadi insan yang soleh setelah berdoa dan berpegang kuat pada Tuhan dan ajaran-Nya.

Contohnya, ajaran agama Islam, Surat Al Alaq yang menerangkan Allah mencipta manusia dari benda yang hina dan kemudian memuliakannya dengan mengajar membaca, menulis dan memberikannya pengetahuan.

Ajaran agama Buddha oleh Siddhartha Gautama mengajar penganut agama Buddha agar patuh dan taat pada ibu bapa kerana mereka bersusah-payah membesarkan kita.

Ajaran agama pada masa kini sudah tentunya masih relevan dan patut jadi panduan hidup remaja.

Remaja boleh merujuk kepada buku/kitab ajaran agama yang suci untuk mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah ataupun kekeliruan yang dihadapi olehnya.

Remaja akan menjaga tingkah laku diri dengan baik apabila mereka menjunjung tinggi ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ yang termaktub dalam Rukun Negara.

Dalam dunia ini, golongan belia akan mudah hilang diri dalam muzik, budaya, pakaian, pertuturan bahasa, cara bergaul dari negara asing khususnya negara Barat, maka antara satu solusi yang baik dan konstruktif untuk menyelesaikan masalah kecenderungan remaja kepada budaya Barat yang kurang baik ini adalah melalui agama.

Maka, kita harus banyakkan masa mengaji, banyakkan masa kita dengan Tuhan, fahamilah ajaran kita dan kaum lain, supaya masyarakat yang lagi terurus dan sistematik dapat dibentuk. Wahai, para belia, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali.

Apabila belia negara kita berada dalam zaman Malaysia Baharu ini, kita perlulah berusaha untuk mencapai status kewangan yang kukuh dan ekonomi berdikari peribadi serta mampu menyara kehidupan seharian diri apabila kita mula menceburi alam pekerjaan.

Alam pekerjaan ini adalah sangat kompetitif kerana peluang pekerjaan yang ditawarkan sudah tentu adalah dihadkan, tetapi banyak calon yang berminat akan memohon pekerjaan tersebut.

Maka, fenomena ini boleh dikatakan pengangguran apabila permintaan pekerjaan itu lebih daripada tempat/peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak majikan.

Bagi memenuhi permintaan pasaran, remaja lebih mudah mendapat pekerjaan apabila mempunyai pendidikan tinggi, berpengalaman, boleh berkomunikasi dengan baik, menunjukkan sikap positif semasa temu duga dan melepasi tempoh percubaan pekerjaan (dinilai daripada pelbagai segi bagi mendapatkan pekerja bermotivasi tinggi).

Rezeki mestilah halal

Mengenai status kewangan diri, remaja boleh menyara hidup masing-masing melalui pelbagai cara seperti bekerja dengan pihak majikan, menjalankan perniagaan sendiri, dan lain-lain.

Semua cara menjana pendapatan adalah digalakkan oleh kerajaan, tetapi sumber rezeki mestilah halal.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan bertindak sebagai pihak pemberian dana dan peruntukan telah memberikan pelbagai insentif kepada industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), peniaga baru dan sebagainya.

Tidak dilupakan juga pelbagai badan berkanun yang menghulurkan bantuan kepada usahawan muda seperti Mara, Teraju , PUNB dan banyak lagi.

Belia sepatutnya mampu menyara hidup diri dengan menanggung perbelanjaan harian diri apabila kita menyediakan bajet dan plan untuk setiap hari.

Peribahasa Melayu ada mengatakan: Ukur baju di badan sendiri.

Golongan belia perlu membelanja dengan hemah dan cermat dan mengingatkan diri bahawa sikap boros dan tamak haloba perlu dikikis kerana amalan itu adalah amalan syaitan.

Diharapkan, belia di era pasca-Covid dapat menyumbangkan tenaga di pasaran kerja dan menjana nafas baru dan melakukan pembaharuan, inovasi ataupun penambahbaikan ke aspek kerja mereka dengan bersungguh-sungguh mencapai status ekonomi berdikari peribadi di samping dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti tinggi.

Belia yang berada di ambang pasca-Covid hendaklah mengambil pengajaran dan iktibar daripada pandemik ini dengan menyedari tentang keperluan untuk menghargai masa dan detik-detik bersama ahli keluarga tersayang serta sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Umum sedia maklum bahawa malapetaka dan musibah akan melanda tanpa memberikan signal, mesej atau pemberitahuan dahulu.

Maka, masyarakat terutamanya golongan belia yang umur setahun jagung, darah setampuk pinang perlu menetapkan sasaran, objektif hidup dan memberanikan diri untuk mengejar impian selain pada segala masanya membuat baik agar diri sendiri senang hati dan memperoleh pahala.

Belia perlu mengetahui bahawa masa adalah emas dan setiap detik adalah cukup bermakna.

Oleh itu, saya mengesyorkan agar golongan belia meluangkan lebih banyak masa untuk menemani dan berinteraksi dengan ahli keluarga supaya hubungan silaturahim yang mantap dapat dijalinkan.

Ingatlah, air yang dicincang tidak akan putus, kami perlu sentiasa mengingati bahawa ibu bapalah yang membesarkan kami dan menjaga kami dengan elok bagai menatang minyak yang penuh, maka kami dapat membalas jasa dan merakamkan penghargaan tertinggi kepada mereka dengan berbuat demikian.

Jika mendaki gunung, sudah sampai puncaknya; jika kita berbicara, sudah sampai noktahnya, belia mesti menyedari peranan dan hala tuju sendiri masing-masing dan maju serta mara dengan penuh yakin ke masa hadapan dengan arus pemodenan dunia yang pesat.

Belia di alaf pasca Covid-19 sudah tentunya memainkan peranan yang cukup signifikan dan berhubung kait rapat dengan kegemilangan negara Malaysia bagai dakwat dengan kertas.

Jika nak meninjau masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remaja masa kini dahulu.

Bak kata pepatah orang Melayu, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, dengan slogn “Dekad ini, Dekad Anda”.

Semua belia termasuk saya yang merupakan seorang mahasiswa di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya wajar bertekad, bersedia dan beriltizam untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk menyokong usaha murni kerajaan dalam pembangunan tanah airku yang tercinta, Malaysia.

Malaysia boleh!


LIM SAN SHIEN merupakan seorang pelajar Fakulti Undang-undang Universiti Malaya. Dia juga pengasas dan presiden Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya yang juga dikenali sebagai UM Young Leaders. Dia gemar menulis untuk berkongsi pandangan dengan masyarakat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS