Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Parti baru Syed Saddiq akan pecahkan undi Melayu

WAWANCARA | Minggu lalu, Dr Mahathir Mohamad dikritik kerana pandangannya yang menolak penubuhan parti politik orang muda yang akan ditubuhkan oleh anak didiknya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mahathir pada ketika itu berkata dia tidak percaya parti pelbagai kaum berasaskan anak muda tidak akan berjaya.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini pada hari Khamis, Mahathir menjelaskan maksud kenyataannya itu.

Baginya, rancangan Syed Saddiq itu akan memecahkan lagi sokongan pengundi, terutama dalam kalangan orang Melayu.

"Pasal (kenyataan) tak boleh berjaya, itu politik. Soal saya berhubung dengan dia, itu masih baik.

"Saya kata dengan dia, kalau kita ada banyak parti, kita lawan sama kita, nanti kita kalah. Orang lain nanti menang, jangan pecahkan undi Melayu, itu saja.

"Kalau awak ambil orang muda, orang tua tinggal sini (Pejuang) siapa nak sokong parti baru ini? Habis lah jadinya bila banyak parti," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Sebelum ini, Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan itu mengambil haluan berbeza apabila tidak mengikut jejak bekas pemimpin Bersatu lain untuk menyertai parti Pejuang.

Meskipun bekas ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu merupakan penyokong kuat kepada Mahathir dan turut serta mengasaskan Bersatu, namun akhirnya dia mengambil haluan berbeza.

Syed Saddiq yang juga ahli parlimen Muar memberi bayangan akan menubuhkan parti baru berasaskan cita rasa anak muda bagi membawa pembaharuan kepada politik tanah air.

Mengulas lanjut, Mahathir menyifatkan orang Melayu tidak pandai berpolitik.

"Orang Melayu tak bijak dalam politik. Dia pegang kuat pada parti, lepas tu kalau dia tak dapat, dia buat satu parti (baru).

"Dia pecah undi Melayu, bila kita pecah undi Melayu, bukan Melayu menjadi penentu siapa yang akan menang," katanya lagi.

Melayu perlu perhatian khusus

Ahli Parlimen Langkawi itu mengimbau perjalanan politiknya pada tahun 1964 di Kota Setar yang menyaksikan beliau tewas apabila India bukan Melayu pada masa itu tidak memihak kepadanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penubuhan parti Pejuang yang berteraskan kepada orang Melayu, Mahathir berkata ia perlu memandangkan orang Melayu masih mempunyai banyak masalah.

 

Katanya, orang Melayu memerlukan perhatian khusus bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi bangsa teras di negara ini.

"Orang Melayu ada banyak masalah. Perlu menangani masalah dihadapi orang Melayu, kalau kita buat satu penyelesaian itu manfaatnya untuk semua kaum, Melayu tak dapat manfaat itu.

"Melayu kena ada 'special treatment' (layanan khas). Saya dah lama dah, 70 tahun, 80 tahun saya bekerja untuk membantu orang Melayu," jelasnya.

Sementara itu mengulas mengenai kekalahan parti Pejuang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Mahathir berkata antara lain ia adalah disebabkan bekas perdana menteri Najib Razak.

 

Jelas Mahathir, Najib telah berjaya memainkan propagandanya dalam PRK Slim supaya pegundi menolak calon partinya.

"Ini kesan daripada Najib punya propaganda. Najib sudah berjaya, benda yang salah itu betul, yang betul itu salah.

"Dia boleh kata ini penipuan, dia tak buat salah, yang sebenarnya orang tipu dia. Orang Melayu dia simpati lah, kata boss dia nak masuk penjara.

"Dia boleh kata 'bossku apa nak malu', kalau bossku mencuri pun nak malu apa, lagi pun ada orang Melayu kata biar lah dia curi, dia bukan curi duit kita. Dia curi duit org lain," kata Mahathir.

Lihat Komen
ADS