Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRN SABAH | Kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah bermula dengan penuh debaran hari ini tetapi bagi penduduk di kampung-kampung nelayan di Kampung Sim-Sim, Sandakan, salah satu dari sembilan daerah pengundian di bawah N46 Tanjung Papat, ia hanya hari Ahad yang biasa.

Sebilangan besar penduduknya berada di dalam rumah ketika penyandang DUN itu, DAP Frankie Poon mengunjungi kawasan itu pagi ini.

Poon merupakan salah seorang daripada tujuh calon dalam saingan untuk Tanjung Papat.

Terletak hanya tiga kilometer dari pusat bandar Sandakan, Sim-Sim mempunyai 2,208 pengundi berdaftar pada PRU14, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Keseluruhan daerah pengundian terdiri dari 24 "Jambatan", lapan "Lorong" dan sebuah kawasan perumahan kos rendah.

Pada PRU14, Poon memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru, tetapi Sim-Sim adalah salah satu dari dua daerah pengundian yang dimenangi BN pada pilihan raya 2013.

Mengetuk pintu mereka, Poon, yang ditemani oleh isterinya, mengingatkan para pengundi di "kampung terapung" Kampung Sim-Sim bahawa dia akan bertanding di bawah bendera Warisan pada pilihan raya ini.

Kebanyakan penduduk kampung menyambut kehadirannya dan membenarkan pasukan Poon mempamerkan poster kempennya di dinding rumah mereka.

Beberapa penduduk kampung di sepanjang Jambatan 4 dan Jambatan 5 terdengar memberitahu Poon bahawa masalah infrastruktur asas masih menjadi isu utama di kawasan mereka.

 

Penduduk Jambatan 4, Andy Boy memberitahu Poon bahawa masalah yang menjadi perhatian termasuk keperluan untuk memperbaiki beberapa jambatan usang, serta tangga kayu reput yang menghubungkan jalan dengan kapal nelayan.

"Setakat ini baik-baik saja kerana dia (Poon) sering berjalan-jalan untuk mendengar masalah orang.

"Apa yang dapat dia bantu, dia akan bantu. Tetapi tentu saja dia tidak dapat bantu semuanya," kata penduduk Sim-Sim yang berusia 52 tahun itu.

"Yang paling penting, dia mesti menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

"Pembangunan akan memakan masa yang lama. Tetapi sekarang kita dapat melihatnya sedikit demi sedikit," kata Andy.

Kebanyakan masalah dihadapi penduduk adalah isu lama dan penduduk Kampung Sim-Sim lain semasa kempen pilihan raya kecil Sandakan sebelumnya pada Mei tahun lalu menuntut kerajaan Warisan untuk membuktikan bahawa mereka berbeza daripada pentadbiran BN.

Sepanjang Jambatan 5, ketua kampung yang memperkenalkan dirinya sebagai Mohamad berkata walaupun perubahan dapat dilihat pada keadaan jambatan, masih banyak yang perlu diperbaiki.

 

Salah satu jambatan usang yang memerlukan baik pulih dapat dilihat di hujung Jambatan 5, yang disambung ke struktur yang digunakan sebagai tempat penduduk kampung berkumpul.

Dia juga menyatakan bahawa Poon bukanlah wajah yang asing bagi penduduk di situ, yang sebahagian besarnya dihuni oleh orang Melayu dan pelbagai etnik Bumiputera Sabah.

"Walaupun dia agama lain (bukan muslim), dia baik. Sekiranya seseorang meninggal dunia di sini, dia akan datang berkunjung," kata Mohamad.

Peratusan pengundi Cina yang lebih besar di Tanjung Papat, kira-kira 50 peratus daripada 14,373 pengundi berdaftar pada PRU14, tinggal di kawasan darat termasuk projek perumahan kos rendah.

"Bagi saya kawasan ini bukanlah tempat yang asing bagi saya, sama seperti rumah saya juga," kata Poon kepada Malaysiakini dalam temu bual selepas lawatan itu.

Walaupun tempoh menyandang jawatan sebagai Adun hanya 26 bulan, Poon berkata antara masalah infrastruktur yang diselesaikan termasuk membina gelanggang futsal yang berbumbung di Kampung Bumiputera yang berdekatan.

Mengenai jambatan di Kampung Sim-Sim, Poon mengatakan bahawa masalah jambatan adalah masalah yang berterusan kerana ia tidak tahan lama.

 

Dia juga mendakwa perubahan dalam kerajaan persekutuan dari PH kepada PN telah menghentikan dana yang diluluskan yang digunakan oleh anggota parlimen Sandakan, Vivian Wong untuk tujuan pembangunan infrastruktur di daerah itu.

"Objektifnya adalah untuk meredakan masalah orang di sini, sehingga anak-anak dan orang dewasa tidak akan jatuh ke laut.

"Kami menyedari hal itu, kami tahu masalahnya, kami ingin menjaga penduduk dengan membina kembali jambatan ini, infrastruktur yang lebih sesuai untuk penduduk di sini," kata Poon.

"Saya masih akan menggunakan dana Adun saya, yang telah belanjakan untuk kos baik pulih, tetapi itu bukan penyelesaian jangka panjang untuk masalah utama di sini," katanya.

Mengenai rancangannya yang lain, Poon juga mengatakan dia melihat potensi untuk mempromosikan Kampung Sim-Sim sebagai daya tarikan pelancong di Sandakan.

Ditanya peluangnya, bekas menteri kesihatan negeri itu hanya mengatakan dia akan menyerahkan kepada para pengundi untuk menilai pencapaiannya setakat ini.

Poon akan berdepan enam pesaing lain dalam pilihan raya negeri ini, iaitu pertambahan dua calon baru berbanding PRU14, iaitu bekas Adun selama dua penggal Tg Papat dari BN Tan Shu Kiah dan calon Bebas, Jufazli Shi Ahmad.

 

Seorang lagi yang akan bertanding ialah Mohd Yunus Apil dari Usno, salah satu parti politik tertua di negeri ini, yang dihidupkan semula.

Pasukan kempen Yunus juga dilihat menyebarkan risalahnya di sekitar Jambatan 4 dan Jambatan 5 sebelum ketibaan Poon, bergerak dari pangkalan mereka di pintu masuk ke Jambatan 2, yang terletak beberapa ratus meter.

Penyokongnya di kalangan penduduk kampung menyifatkan Yunus sebagai anak tempatan dan calon "ditunggu-tunggu" untuk menghidupkan semula warisan Usno.

Ada juga yang belum yakin, meletakkan keperluan mereka untuk pembangunan melebihi sentimen etnik yang dikaitkan dengan parti yang kini dipimpin oleh bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.

Hari pengundian untuk pilihan raya negeri Sabah akan diadakan pada 26 September.

Lihat Komen
ADS