Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seperti tahun-tahun sudah PAS sentiasa mengambil kesempatan untuk mengingatkan penyokongnya agar sentiasa menyokong media rasmi mereka iaitu Harakah.

Pada Muktamar PAS ke-66 yang berlangsung di Kota Bharu, semalam, ketua penerangannya Kamazuraman Mohamad sekali lagi melahirkan rasa kecewa susulan lidah rasmi PAS itu kurang mendapat sambutan.

Sehubungan itu dia menyeru supaya perwakilan Muktamar untuk menjadikan amalan membaca versi atas talian akhbar itu sebagai rutin, selepas sembahyang subuh setiap hari.

"Menjelang PRU15, Harakahdaily menjadi medium sangat penting untuk menyampaikan mesej parti kita kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kalau kita tidak sokong siapa lagi nak sokong. Hari ini saya nak seru setiap pagi bangun sembahyang subuh, baca al-Quran, lepas itu baca mathurat, lepas itu buka Harakahdaily," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik).

Sebagai rekod tabloid itu sebelum ini pernah terpalit isu tunggakan hutang sekitar RM3 juta yang tidak dilunaskan kepada syarikat pencetak.

Ketika itu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka memerlukan masa untuk menyelesaikan hutang berkenaan.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata penjualan Harakah versi cetak kini sekitar 25,000 nashkah sebulan bagi setiap edisi.

"Ahli kita ada sejuta, ada masih banyak kawasan-kawasan yang masih belum melanggan Harakah cetak ini. Mungkin sebahagian daripada kita merasakan bahawa ia tidak lagi menjadi elemen yang sesuai, media yang sesuai untuk mendekati pengundi.

"Kajian terbaru yang dibuat di Kedah menunjukkan bahawa media cetak masih lagi menjadi medium yang sesuai untuk kita dekati pengundi-pengundi tradisional, maka akhbar ini masih menjadi medium yang sesuai.

"Jadi saya mohon ambil peluang ini, kalau boleh kita nak tengok dua bulan selepas Muktamar, Harakah boleh cetak 50,000 naskhah setiap edisi untuk dibeli," katanya sambil menegaskan versi atas taliannya turut ditambah baik dengan kos puluhan ribu ringgit.

Lihat Komen
ADS