Malaysiakini BERITA

Pencetak sahkan hutang Harakah lebih RM3 juta

N Faizal Ghazali

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Notis yang mendedahkan jumlah tunggakan hutang akhbar rasmi PAS iaitu Harakah tersebar di media sosial, sejak semalam.

Kandungan notis itu memaparkan hutang cetakan Harakah, cetakan buku dan cetakan Siasah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,053,204.59.

Notis makluman mengenai penyata akaun itu ditandatangi Pengurus NAJ Press Resourses (M) Sdn Bhd (NAJ Press).

"Pembayaran akhir yang kami terima adalah pada 31 Oktober 2017 berjumlah RM23,518.34. Memandangkan pembayaran akhir itu agak lama, kami berharap pihak tuan boleh membuat pembayaran sekali gus atau secara berkala terhadap jumlah tersebut," kata notis tersebut.

Sementara itu, Pegawai Kanan NAJ Press, Hussin Jan, ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kesahihan notis dan jumlah hutang tersebut.

"Ya betul (jumlah) seperti yang diviralkan itu. Jumlah itu juga dipersetujui pihak Harakah," katanya.

Terdahulu, isu hutang Harakah itu muncul ketika kempen mengajak orang Melayu memboikot produk bukan Melayu atau bukan Muslim yang digerakkan beberapa pihak, termasuk kumpulan yang cenderung menyokong PAS.

Beberapa laporan media sebelum ini menyebut hutang tersebut berjumlah lebih RM2 juta.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata jika ada dakwaan mengatakan Harakah sengaja lari daripada syarikat pencetak berkenaan, ia tidak benar sama sekali.

Sebaliknya kata beliau PAS mempunyai sebab tersendiri untuk memilih syarikat lain untuk mencetak Harakah.

"Sebenarnya syarikat yang dulu itu (pencetak lama) sudah muflis, jadi sebab itulah (tukar pencetak)," katanya. 

Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan Harakah akan mengikut segala nasihat peguamnya bagi menyelesaikan isu hutang tertunggak itu.