Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadir harap populariti Veveonah tak dieksploitasi 'pemburu publisiti'
Diterbitkan:  Sep 14, 2020 7:04 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Selepas jemputan makan malam Veveonah Mosibin bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tokoh wartawan A Kadir Jasin berharap agar populariti pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu tidak dipergunakan oleh pihak yang disifatkannya sebagai inginkan perhatian.

“Sekarang semua oportunis mahu kelihatan bergambar bersama 'budak atas pokok' ini (meminjam ungkapan menteri, Annuar Musa).

“Harap-harap Veveonah tidak membenarkan status selebritinya dieksploitasi oleh para pemburu publisiti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Kadir yang juga bekas pemimpin Bersatu berpandangan "pemenang sebenar" dalam isu yang mengundang perhatian ramai ini adalah Veveonah sendiri.

“Dia berjaya membuktikan fitnah dan pembohongan dua orang Timbalan Menteri Muhyiddin - Zahidi Zainal Abidin (Komunikasi dan Multimedia dan Abdul Rahim Bakri (Kewangan). Boleh raikan Veveonah kerana kecekalannya.

“Tetapi kecelakaan tentang akses internet yang terhad di pedalaman ini bukan membebankan Veveonah seorang saja, ramai lagi di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung menderita hal yang sama,” katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin mempertikaikan bahawa Veveonah memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet agar boleh menduduki peperiksaan.

Ia mengundang kritikan ramai dan Zahidi telah meminta maaf, dengan berkata dia mendapat maklumat yang tidak tepat berkenaan perkara itu.

Memburukkan keadaan, Abdul Rahim Bakri - yang memberikan maklumat berkenaan perkara itu kepada Zahidi - mempertahankan dakwaannya dan antara lain berkata telah membuat siasatan terhadap seorang dekan fakulti dan pensyarah UMS.

Kenyataannya yang disiarkan di Facebook telah dipadam selepas mendapat kecaman ramai pihak.

Pada masa sama, ramai pelajar, termasuk Veveonah sendiri, mengongsikan jadual peperiksaan bagi membuktikan dia memang menduduki peperiksaan.

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar kemudian menyampaikan permohonan maaf kerajaan kepada Veveonah.

Dia juga menyifatkan “kebodohan” cara kedua-dua timbalan menteri tersebut menyukarkan Perikatan Nasional di Sabah terutama untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya negeri.

Lihat Komen
ADS