Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada tahun 2020, rakyat Malaysia menyambut kedatangan hari kebangsaan ke-63.

Hari ini merupakan hasil daripada usaha dan keringat nenek moyang kita yang banyak menderita dan berkorban.

Kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957 selepas mengalami penjajahan Portugis, Inggeris, Belanda, Jepun dan akhirnya Inggeris harus kita hargai dengan menjalinkan hubungan erat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir pernah berkata, jangan disia-siakan apa yang telah mereka tinggalkan disebabkan perbezaan antara kita, sebaliknya perlu meraikan perbezaan itu bagi mewarnai masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan hidup penuh muhibah.

Justeru, kepelbagaian masyarakat harus dianggap sebagai nikmat Tuhan dan bukannya rintangan ke arah perpaduan kaum.

Apabila saya masih kecil, saya belajar di sekolah jenis kebangsaan.

Dalam kelas saya terdapat pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan Bidayuh, namun kami dapat bergaul mesra antara satu dengan yang lain.

Kami rajin menuntut ilmu di kelas yang sama, saling membantu dalam pelajaran dan juga bermain bersama-sama dengan seronok.

Melalui berkawan dengan pelbagai kaum, saya mampu mengenali budaya dan pantang larang mereka.

Kami juga saling bertoleransi, contohnya saya akan mengelakkan diri daripada makan makanan di hadapan rakan Melayu saya apabila mereka berpuasa.

Kata-kata pujangga, jika kita berkawan dengan saudagar minyak wangi, maka kita akan berbau wangi, jika kita berkawan dengan tukang besi, maka selalulah kita akan merasa percikan api tersebut.

Oleh itu, akhlak seseorang ialah ciri yang perlu dipertimbangkan sebelum kita berkawan dan bukanlah kaum, agama atau warna kulit.

Ibu bapa mestilah menggalakkan anak-anak mereka untuk bersahabat dengan pelbagai etnik supaya gejala diskriminasi kaum dapat diatasi sehingga akar umbi.

Penulis dan rakan-rakan sekelas ketika tahun empat

Malaysia menjadi syurga makanan kerana setiap kaum mempunyai jenis makanan tersendiri.

Tukang masak terkenal, Chef Ismail berpandangan, kemampuan sesuatu makanan warisan sebagai salah satu faktor untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama adalah tidak dinafikan.

Roti canai ialah makanan orang India tetapi telah menjadi santapan biasa bagi rakyat Malaysia.

Pelanggan di kedai kopi yang mencicahkan roti canai ke kuah dal, kari ikan atau daging atau sambal lalu menyuapkannya ke mulut memang menjadi fenomena lazim.

Nasi lemak ialah makanan tradisional Melayu yang popular dan digemari setiap kaum di Malaysia.

Laksa orang Cina merupakan sejenis makanan berkuah yang begitu enak dan ditemui di setiap pelosok negara kita.

Di pasar, orang Cina lumrahnya menjual kuih chang dan pau manakala orang Melayu menjual kuih-muih seperti pisang goreng dan popia sayur.

Kaum Bajau terkenal dengan cara pemakanan mereka yang lebih bersifat tradisional dan semula jadi.

Mereka menggunakan ubi kayu sebagai sumber makanan utama mereka dan menghasilkan hidangan seperti putu dan tompe.

Maka, saya yakin bahawa kepelbagaian makanan sudah menjadi pemangkin kepada perpaduan di Malaysia kerana rakyat sanggup membeli makanan yang diminati daripada penjual yang berbilang kaum.

Inilah peluang keemasan untuk kita eratkan hubungan.

Penjual dan pelanggan berbilang kaum di pasar minggu, gambar hiasan

Rakyat berbilang kaum menyambut pelbagai jenis perayaan sepanjang tahun dalam keadaan yang meriah serta muhibah.

Kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan kaum utama di Malaysia dianggap sebagai perayaan utama dan akan disambut sebagai perayaan peringkat nasional iaitu sambutan Hari Raya Aidilfitri, perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Keamatan.

Pada setiap perayaan, tradisi mengadakan rumah terbuka telah menjadi keistimewaan Malaysia yang menggambarkan semangat perpaduan sudah dipupuk kukuh dalam kalangan masyarakat.

Melalui tradisi ini, pelbagai kaum kunjung-mengunjungi bagi bersama-sama memeriahkan perayaan dan berkongsi kegembiraan.

Apabila menghadirkan diri ke rumah terbuka sesuatu kaum, kita dapat memahami budaya mereka dan merasai makanan tradisional yang membangkitkan selera.

Saya pernah menghayati cara orang Melayu bersalam-salaman, pengalaman itu amat spesial bagi saya.

Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong telah tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia.

Oleh itu, memang tidak dapat menafikan kata-kata Dr Wan Azizah Wan Ismail, perpaduan kaum menjadi antara faktor penting untuk Malaysia mencapai status negara maju selain kepesatan pembangunan dan ekonomi.

Perpaduan nasional harus menjadi misi penting bagi negara kita supaya Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.

Ibu penulis menyambut Hari Gawai bersama kaum Iban

Tuntasnya, kita semua mesti menghargai dan menyanjung masyarakat majmuk yang terwujud di negara kita kerana kepelbagaian ini merupakan nikmat Tuhan yang tidak dapat ternilai.

Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia mesti memastikan mata pelajaran seperti Sejarah, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diajar di setiap sekolah supaya semangat patriotik dan perpaduan dapat ditanam dalam jiwa pelajar sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Ibu bapa juga mesti menjadi teladan kepada anak-anak mereka dengan sentiasa bergaul mesra dengan jiran sekeliling yang berbilang kaum.

Bagaimana acuan begitulah kuihnya, anak-anak memang akan mengikut jejak langkah ibu bapa yang mulia ini.

Masyarakat perlu menggalas kewajipan ini dengan mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya impian negara yang lebih gemilang dapat dibina kelak.

Tunku Abdul Rahman pernah berkata:

“Kemerdekaan ibarat obor yang menyala.

“Marilah kita julang obor ini setinggi-tingginya dengan bangga supaya cahayanya dapat menerangi sekitar alam.”

Kemerdekaan ini merupakan titik peluh nenek moyang kita, kita mesti mempertahankannya selama-lamanya dengan menjayakan gagasan 1Malaysia.

Bersama bersatu hati membina Malaysia harmoni.


JANE HO MEI YING merupakan seorang pelajar sekolah menengah daripada Sibu, Sarawak. 

Rencana ini antara penyertaan dalam pertandingan menulis esei sempena Hari Malaysia anjuran sebuah organisasi. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS