Malaysiakini
BERITA

Pandikar: Keluarga Tun Datu Mustapha harus terima kasih perjuangan diteruskan

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Sep 2020, 10:40 pagi

PRN SABAH | Keluarga pengasas Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun seharusnya berterima kasih kepada pemimpin dan ahli baru parti kerana meneruskan semangat perjuangan tokoh politik itu sehingga ke hari ini.

Ketua Umum Usno Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata apa yang dilakukan pemimpin dan ahli parti itu ketika ini ialah untuk mengingatkan rakyat Sabah mengenai perjuangan Tun Datu Mustapha dahulu dalam memperjuang kepentingan penduduk negeri itu.

"Kami bukan mengaibkan... Kami tidak mengutuk... (sebaliknya) kami mengangkat (perjuangan Tun Datu Mustapha).

"Seharusnya keluarga Allahyarham berterima kasih kepada Usno kerana kami mengingatkan rakyat Sabah tentang perjuangan mereka dahulu.

"Seharusnya keluarga Tun Datu Mustapha termasuk (Datuk) Amir Kahar mesti masuk dalam Usno," katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifesto parti itu yang merangkumi lima rundingan dan lapan tawaran baru di Kota Kinabalu hari ini.

Pengasas Usno, mantan Yang di-Pertua Sabah pertama, bekas KM Sabah ketiga, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anak lelaki Tun Datu Mustapha iaitu Amir Kahar yang meminta barisan kepimpinan Usno baru, terutama yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, memohon maaf kerana menggunakan nama serta legasi ayahnya.

Amir Kahar, yang bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi, berkata keluarganya tidak mahu gambar Tun Datu Mustapha digunakan demi kepentingan politik Usno.

Mengulas lanjut, Pandikar Amin berkata gambar Tun Datu Mustapha adalah hak awam yang turut terdapat dalam arkib.

Usno ditubuhkan pada 1961 oleh Tun Datu Mustapha, yang juga digelar ‘Bapa Kemerdekaan Sabah.’

Pandikar Amin berkata Usno tidak menjalin sebarang kerjasama mahupun pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRN Sabah.

Bekas Speaker Dewan Rakyat itu berkata demikian ketika disoal adakah benar PKR membuat rundingan dengan Usno untuk bertanding dan merosakkan undi Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai ‘balasan balik’ kerana PKR hanya diberikan tujuh kerusi pada pilihan raya tersebut.

Katanya perkara itu tidak berlaku kerana Usno turut meletakkan calon di kawasan yang ditandingi PKR seperti DUN Tempasuk, Karambunai dan Darau.

Seramai 47 calon Usno akan bertanding merebut kerusi DUN pada PRN kali ini.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.