Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq hantar permohonan pendaftaran MUDA
Diterbitkan:  Sep 17, 2020 10:21 AM
Dikemaskini: 5:57 AM

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengemukakan permohonan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bekas Ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu hadir ke RoS di sini kira-10.30 pagi bagi menghantar beberapa dokumen untuk pendaftaran parti baharu itu.

Ditemui media selepas hadir ke RoS, Syed Saddiq berkata MUDA boleh disertai pelbagai kaum di Malaysia dan tiada had umur ditetapkan.

“Parti ini akan dipimpin oleh anak muda daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya, sambil menambah MUDA kini mempunyai 13 penaja.

Menurutnya, struktur organisasi parti MUDA akan diumumkan dalam masa terdekat.

- Bernama

Terdahulu, anggota parlimen Muar, itu semasa dalam wawancara dengan stesen radio BFM hari ini, berkata MUDA akan menjadi parti politik Malaysia pertama diterajui golongan belia berbilang kaum.

“Selepas wawancara ini, saya akan ke terus ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendaftar Muda sebagai parti politik.

“(Ia akan jadi) parti Malaysia pertama diterajui belia, berbilang kaum dan agama untuk memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia- tua dan muda, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan,” katanya ketika wawancara berkenaan.

Syed Saddiq juga mengingatkan bahawa sebarang halangan yang bakal dihadapi sewaktu pendaftaran parti itu akan mengundang kecaman masyarakat.

“Saya sangat pasti majoriti masyarakat Malaysia sedia maklum dan jika terdapat sebarang halangan dalam usaha kita, ia adalah cubaan untuk menghentikan (dan) menghalang kemajuan dalam meraih entiti politik sah dan untuk membungkam suara anak muda seperti yang mereka lakukan kepada Veveonah (Mosibin) di Sabah.

“Saya rasa ini akan mengundang kecaman yang hebat," katanya lagi.

Veveonah, yang merupakan pelajar universiti dari pedalaman Sabah baru-baru ini menjadi tumpuan apabila dua timbalan menteri menuduhnya berbohong ketika mengambil peperiksaan di atas pokok akibat capaian internet yang teruk.

Syed Saddiq yang juga bekas ketua pemuda Bersatu berkata dia telah “merayu secara peribadi” kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan rancangan Muda.

“Jadi saya harap tidak ada halangan politik,” tambahnya.

Untuk rekod, ROS diletakkan bawah Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, Syed Saddiq mengesahkan bahawa parti barunya turut merancang untuk bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya masih terlalu awal untuk Muda membuat keputusan sama ada ia patut menyertai mana-mana gabungan parti politik sedia ada

“Bila kami dapat buktikan diri kami, masa itu baru kami akan berunding,” katanya.

Apa yang tak kena dengan PH?

Ditanya berhubung kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), bekas menteri belia dan sukan itu meluahkan rasa kesal akan bagaimana ‘pertikaian peribadi’ akhirnya memberi ruang kepada pembangkang.

“Ia kerana rasa tidak puas hati, perselisihan dan pertelingkahan berterusan di kalangan ahli politik lama yang tidak pernah berakhir sejak 20 hingga 30 tahun yang lalu.

“Disebabkan rasa saling tidak percaya yang terbuku ini, berlakulah Langkah Sheraton.

“Kita tidak menangani politik dalam gabungan dengan baik (dan) tidak menangani hubungan antara pemimpin parti dengan baik.

“Kita membenarkan pembangkang memanfaatkan perselisihan dan ketidakpuasan hati antara satu sama lain, ”katanya.

Bercakap soal prinsip, Syed Saddiq membantah keputusan Bersatu untuk keluar daripada PH meskipun langkah itu akan dilihat sebagai tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Kita tidak sepatutnya menggunakan hal itu sebagai alasan untuk menikam sekutu dari belakang dan tinggalkan PH untuk bergabung bersama musuh yang kita tentang dan lawan,” tambahnya. 

Lihat Komen
ADS