Malaysiakini
BERITA

Pacak tiang, ikat baldi, bubuh modem, tarik ke atas

B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Sep 2020, 12:29 pagi

Rakyat Malaysia terkejut baru-baru ini dengan video Veveonah Mosibin, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah, terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan Internet ketika menduduki peperiksaan.

Ia membuka mata terhadap kemudahan Internet di kawasan-kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak yang jauh ketinggalan.

Bagaimanapun, di semenanjung juga masih terdapat kawasan tidak mempunyai sambungan Internet, antaranya Ladang UP Bahagian Bukit Selambau di Sungai Petani, Kedah.

Perkara itu menyebabkan penduduk terpaksa memacak tiang yang tinggi dan meletakkan modem Internet tanpa wayar di puncaknya bagi membolehkan penduduk sekitar mendapat talian Internet.

Estet kelapa sawit yang terletak kira-kira 20 kilometer daripada bandar Sungai Petani itu mempunyai kira-kira 170 penduduk.

Terdapat enam tiang 'menara telekomunikasi' yang setiap satu berharga RM100 hingga RM300 (bergantung kepada ketinggian) dibina di ladang itu.

"Kalau kami nak pakai Internet, kami pasang modem itu dengan power bank diletakkan dalam satu baldi.

“Kemudian naikkan baldi itu bersama Jalur Gemilang sebelum diikat di tiang bendera itu.

"Inilah cara kami mendapatkan Internet, dihubungkan dengan hotspot telefon pintar.

"Sebab itu saya kata bahawa kami perlu 'kibarkan' Jalur Gemilang tiap-tiap hari untuk kemudahan Internet,” kata seorang penduduk V Barathidasa kepada Malaysiakini.

Menurut Barathidasa, 26, tiang paling tinggi di situ sepanjang 40 kaki dan dimiliki keluarga abangnya.

"Abang saya seorang peniaga. Kebiasannya, dia perlu internet untuk urusan perniagaan. Jadi, dia buat tiang bendera.

"Selain itu, anak dia juga belajar di sekolah dan juga menggunakan pakai Internet," katanya.

Kalau hujan tak boleh pakai

Barathidasa berkata mereka membeli satu modem dan membuat bayaran bulanan antara RM85 hingga RM100.

"Tetapi, kalau hujan tidak boleh pakai," katanya sambil menambah jiran-jirannya juga menggunakan tiang bendera serupa sejak empat tahun lalu.

Barathidasa yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) berkata penduduk estet itu memang terkesan dengan ketiadaan kemudahan telekomunikasi.

"Saya berasal dari sini. Setahu saya ladang kami tidak pernah ada kemudahan Internet sejak kemudahan Internet diperkenalkan di Malaysia.

"Lebih sedih, kemudahan telekomunikasi kami juga agak teruk. Masuk sahaja ke ladang. Talian telefon sudah tiada.

"Kadangkala terpaksa bergegas ke kawasan-kawasan berdekatan hanya untuk membuat panggilan telefon. Kemudahan Internet tak payah sebutlah," katanya.

Menjelaskan pengalaman ketika belajar di Universiti Malaya (UM), Barathidasan memberitahu dia sentiasa pergi ke kawasan perumahan terdekat untuk menggunakan Internet.

"Saya belajar UM dari 2014-2018.

“Setiap kali balik ke rumah kalau ada urusan berkaitan universiti, saya bersama rakan Melayu saya yang juga tinggal di ladang ini terpaksa pergi ke taman perumahan terdekat Taman Kelisa Ria sejauh lima kilometer dari sini.

"Di situlah kami ada kemudahan Internet.

“Tetapi, kami rasa menyampah berulang alik setiap kali dan membuat keputusan untuk membuat tiang bendera untuk mendapatkan kemudahan Internet," katanya.

Memo kepada SKMM

Sementara itu, Pengerusi Tamilar Kural Malaysia (TKM) P David Marshel berkata dia terkejut dengan keadaan penduduk di ladang tersebut.

"Kami melawat ladang tersebut baru-baru ini. Kami terharu dengan cara pemikiran inovatif mereka.

"Pada masa yang sama, kami juga berasa sedih sebab masih ada kawasan sebegini yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti telekomunikasi dan sebagainya.

"Mereka telah melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan juga dua syarikat telekomunikasi.

"Tetapi, tidak ada sebarang tindakan," katanya.

David berkata NGO kebajikan yang dipimpinnya itu akan membawa isu berkaitan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Kedah (SKMM).

"Buat masa ini kami tidak serahkan memorandum kerana PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) di Alor Setar.

“Jadi, kami buat selepas tamat PKPD di sini," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk mendapatkan maklum balas berkaitan aduan penduduk ini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan