Paling Popular
Terkini

“Bukan Melayu kalau tak dengki, bukan Cina kalau tak menipu, bukan India kalau tak bergaduh.”

Masih terngiang-ngiang lagi di kepalaku dengan kata-kata tersebut.

Masyarakat sudah dibiasakan dengan pemikiran sebegitu rupa yang tidak pernah berubah.

Setelah hampir 63 tahun negara kita menyambut kemerdekaan, rakyat Malaysia masih lagi mempunyai mentaliti bahawa setiap kaum mempunyai identiti tersendiri seperti yang dinyatakan pada permulaan esei ini.

Yang menjadi persoalan adalah, adakah benar rakyat Malaysia bersikap sedemikian?

Aku percaya bahawa kata-kata yang telah dilemparkan mencerminkan perpaduan di negara ini masih di tahap kurang memuaskan.

Apabila berbicara mengenai perpaduan antara kaum, aku juga mempunyai pengalaman tersendiri.

Kami sekeluarga berkawan rapat dengan seseorang yang bernama Ah Kit (gambar atas).

Daripada nama yang telah aku nyatakan, aku yakin pembaca dapat meneka kawanku ini adalah orang Cina.

Ah Kit adalah seorang mekanik, dan beliau mempunyai bengkel kereta yang terletak di Ipoh.

Bengkel Ah Kit di Ipoh

Alkisahnya Ah Kit berkawan rapat dengan ayahku kerana mereka berdua mempunyai minat yang serupa.

Mereka berdua mempunyai minat dalam bidang permotoran.

Setiap kali kereta kami mempunyai masalah, nescaya Ah Kit adalah orang yang paling kami percayai untuk membaiki kereta tersebut.

Persahabatan antara keluargaku dan Ah kit terhenti apabila ayahku meninggal dunia.

Selepas itu, aku sekeluarga terputus hubungan dengan beliau buat sementara waktu dan aku masih merasakan kami sekeluarga sepatutnya meneruskan hubungan persahabtan yang baik dengan mereka.

Jangkaan aku sangatlah tepat, apabila mereka juga mencari jalan untuk menghubungi aku.

Kami masih meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Ah Kit apabila kereta kami memerlukan sebarang servis atau penambahbaikan.

Pernah satu ketika kami mengalami masalah kewangan, Ah Kit membenarkan kami untuk berhutang dengannya.

Ini sesuatu yang tidak akan pernah berlaku kerana Ah Kit susah untuk mempercayai orang apabila ia berkaitan dengan hutang.

Sudah banyak kes berlaku apabila pelanggan melarikan diri tanpa membayar habis hutang kepada Ah Kit.

Limau dibalas durian

Di sini aku ingin menunjukkan bahawasanya begitulah tahap kepercayaan yang telah terbina antara keluargaku dan Ah Kit.

Harus diakui keluargaku juga tidak berminat untuk berhutang dengannya, tetapi apakan daya keadaan kadangkala memaksa.

Selain itu, setiap tahun apabila tibanya tahun baru Cina Ah Kit akan memberikan sekotak buah limau kepada kami.

Sebagai balasan kami akan memberi buah durian dari dusun kepunyaan kami kepada mereka.

Bukan sebiji yang kami beri, tetapi sekotak akan kami hantar kepada mereka.

“Kotak mestilah dibalas dengan kotak juga, kan?” ujar ibuku.

Penulis dan anggota keluarganya

Ah Kit juga pernah menawarkan kerja sambilan kepadaku sebagai pembantu mekanik di bengkelnya, tetapi apakan daya aku terpaksa menolak tawaran atas alasan jarak rumah aku dan bengkel yang agak jauh.

Sungguhpun begitu, aku sangat menghargai tawaran itu atas kepercayaan dia kepada diriku.

Berbalik kepada kata-kata yang diungkapkan di permulaan esei, aku yakin sifat menipu seperti yang biasa dipadankan kepada orang Cina adalah sangat tidak wajar.

Sepanjang persahabatan aku dengan Ah Kit, kejujuran beliau membuatkan aku pasti bahawa sifat menipu tidak sepatutnya disandarkan kepada sesebuah kaum sahaja.

Sifat dengki, menipu dan bergaduh datangnya dari individu itu sendiri, bukannya bersifat perkauman.

Selagi rakyat di negara ini mempunyai pemikiran perkauman seperti ini, perpaduan antara kaum akan menjadi umpama jauh api dari panggang.


MUHAMMAD FAIZ IKHWAN HASBULAH merupakan seorang mahasiswa dari negeri Perak.

Rencana ini antara penyertaan dalam pertandingan menulis esei sempena Hari Malaysia anjuran sebuah organisasi. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Berkaitan:
ULASAN | Semarakkan hubungan antara kaum
ULASAN | Bertuah, bersyukur

Lihat Komen
ADS