Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Permohonan turap jalan ada dalam cadangan RMK-12'

PRN Sabah | Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Robert Tawik menjelaskan permohonan bagi menaik taraf jalan batu kelikir kepada jalan berturap telah disenaraikan dalam cadangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Penjelasan ini adalah susulan daripada laporan mengenai penduduk di Mukim Bunga Raya yang mempamerkan tuntutan mereka dengan sepanduk besar yang bertulis “ada aspal, ada undi”.

Robert merupakan calon Parti Solidariti Tanah Airku (Star) di Bingkor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah).

Ketika dihubungi Malaysiakini, Robert berkata dia pernah mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan negeri Sabah yang dipimpin oleh Warisan pada hujung tahun lalu.

Bagaimanapun disebabkan kerajaan negeri berkata mereka tidak berkemampuan untuk melaksanakan projek tersebut, Robert mengambil keputusan untuk mengemukakan permohonannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pejabat Daerah Keningau.

Beliau berkata, menurut surat dari pihak JKR bertarikh 19 Feb 2020, permohonannya telah disenarai dalam cadangan senarai RMK-12 dan kos anggaran untuk menurapkan Jalan Mongitom Bunga Raya Kikiran memerlukan RM16,028,000.00.

Berdasarkan surat itu, selain Jalan Bunga Raya, Jalan Minansut ke SRK, Jalan Liau Ulu, Jalan Bingkor Lama dan Jalan Kg Baru - Kg Kuangoh-Gua Laing di Keningau turut disenaraikan dalam cadangan RMK-12.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada permohonan itu telah diluluskan, Robert berkata, “belum ada sebarang makluman lagi.”

'Kami baru memerintah selama 26 bulan'

Sementara itu, calon DAP Bingkor, Peter Saili berjanji akan membawa isu itu ke sidang Dun Sabah sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Mengatakan dia telah berbincang mengenai tuntutan penduduk kampung supaya jalan diturap sebelum hari mengundi, Peter berkata perkara itu tidak mungkin dapat direalisasikan.

“Kami baru memerintah selama 26 bulan, kami pun tidak menjangka dewan akan dibubarkan.

“Adalah mustahil untuk melakukannya sebelum hari mengundi,” jelas Peter.

Semalam, Malaysiakini melaporkan penduduk Mukim Bunga Raya sebulat suara mengemukakan tuntutan “ada aspal, ada jalan” sebagai “manifesto mengundi” mereka.

Tindakan ini diambil untuk menarik perhatian calon dan parti politik supaya mengambil berat terhadap isu infrastruktur yang diingini penduduk kampung selama ini.

Orang Dusun merujuk jalan tar sebagai “aspal” yang sinonim dengan perkataan Inggeris “Asphalt”.

Masalah kemiskinan dan infrastuktur yang kurang lengkap bukan satu isu baru di Sabah. Kebanyakan kawasan pedalaman sebenarnya berhadapan dengan masalah yang lebih kurang sama dengan penduduk di Mukim Bunga Raya.

Sebagai contoh, isu pelajar UMS Veveonah Mosibin yang memanjat pokok bagi mendapatkan capaian internet untuk peperiksaan dalam talian baru-baru ini telah menjadi topik yang hangat di seluruh Malaysia.

Abangnya Mekvin Mosibin turut menyatakan masalah pedalaman di Sabah bukan hanya kesukaran untuk mencapai internet, tetapi turut mempunyai isu lain seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Lihat Komen
ADS