mk-logo
Berita
'Mai, mai, mai' - Abang Veveonah ajak Zahidi tinjau internet pedalaman
Diterbitkan:  Sep 8, 2020 12:04 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Abang kepada Veveonah Mosibin mencabar dua timbalan menteri yang menuduh pelajar UMS itu berbohong demi meraih publisiti supaya berkunjung ke kampung Pitas untuk menyaksikan sendiri kemudahan yang ada di sana.

Pada hantaran Facebook lewat malam tadi, Mekvin Mosibin mempertahankan tindakan adiknya menyiarkan video YouTube memaparkan dirinya memanjat pokok bagi mendapatkan capaian Internet untuk peperiksaan dalam talian.

Video yang kini tular itu mencetuskan perbincangan orang ramai mengenai kemudahan Internet yang lemah di luar bandar Sabah.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin mendakwa Veveonah sebenarnya tidak mempunyai sebarang peperiksaan dan hanya sekadar membuat kandungan tular terbabit untuk hiburan dan menempah nama.

Beliau meminta maaf selepas Veveonah menunjukkan bukti jadual peperiksaannya itu.

Mengulas hal itu, Mekvin mengkritik Zahidi kerana menyasarkan Veveonah dan mengajaknya datang berkunjung ke kampung mereka.

"Cuba kau masuk kampung pendalaman. Lai lai lai, mai mai mai, tapi jangan pilih kampung pula, mesti seluruh tempat kekuasan mu itu.

"Sampai lubang cacing kau datang turun padang. Cuba ambil pengalaman melayar internet di kampung pendalaman pula bagaimana rasanya kepada YB atau timbalan menteri.

"Itu baru Internet belum lagi bekalan air, bekalan elektrik, jalan aspal kena viral," kata Mekvin.

Naik kapcai, rasakan jalan masa hujan

Semalam, Zahidi berkata beliau memberikan laporan yang salah mengenai Veveonah Mosibin kerana mendapat maklumat berkenaan daripada Anggota Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri.

Ahli parlimen Kudat (gambar, bawah) yang juga timbalan menteri kewangan itu bertindak balas dengan berusaha untuk terus memperlekehkan Veveonah dengan berkongsi sumber maklumatnya.

Beliau memadamkan hantaran di Facebooknya selepas netizen mengkritiknya kerana menggunakan platform media sosial untuk menyasarkan pelajar berusia 18 tahun itu.

Mengulas hal ini, Mekvin berkata Abdul Rahim jarang-jarang dilihat di Pitas dan mencadangkan wakil rakyat itu turun padang.

"Turun padang kau YB masa hujan rasakan jalan tu...

"Jangan pakai kereta, pakailah motor kapcai ya, orang kampung kan pakai motor kapcai, mana lah mampu beli motor mahal, kereta mahal," katanya lagi.

Mengenai dakwaan ahli politik Bersatu itu bahawa keluarga Mosibin sudah tidak lagi tinggal di kampung berkenaan, Mekvin mengakui hal ini sebagai benar tetapi mendakwa mereka 'dihalau' oleh ketua kampung tempatan yang sama yang memberikan maklumat kepada Abdul Rahim.

"Ketua kampung inilah dulu suami isteri pengurus bahagian JKKK di Kampung Sapatalang yang mengusir bapa saya.

"Sedangkan bapa saya orang asal Kampung Sapatalang," jelasnya lagi.

 

Lihat Komen
ADS