Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Larangan di lebuh raya: Penunggang akui bahaya tapi cadang tetap waktu dibenarkan

Meskipun mengakui kegiatan berbasikal di lebuh raya mengundang bahaya, sejumlah penunggang yang ditemui Malaysiakini berharap pihak berkuasa menetapkan waktu tertentu mereka dibenarkan menggunakannya.

Cadangan itu berbanding larangan berbasikal di lebuh raya, seperti yang dinyatakan oleh polis dua hari lalu.

Menurut penunggang basikal yang hanya ingin dikenali sebagai Iskandar, mereka tiada banyak pilihan lain untuk melakukan kegiatan tersebut jika larangan sepenuhnya berbasikal di lebuh raya dikuatkuasakan.

“Kalau nak cakap tak boleh guna lebuh raya, saya 50-50 sebab dari segi keselamatan, benar kereta memang laju dan bahaya untuk kita (penunggang basikal).

“Tapi ada sesetengah jalan kampung kami tak boleh guna sebab jalan agak kecil dan hanya ada dua lorong,” kata pengurus bank berusia 33 tahun itu kepada Malaysiakini.

“Saya harap (kerajaan) akan tetapkan had waktu bila penunggang basikal boleh guna lebuh raya. Agak susah jika terus halang kami daripada masuk lebuh raya," katanya lagi, yang berbasikal sekurang-kurangnya 50 kilometer setiap minggu.

Iskandar yang mula berjinak-jinak dengan sukan berbasikal tiga tahun lalu dan sering menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Latar), berkata isu itu hanya menjadi hangat setelah ramai warganet mengecam penunggang basikal.

Menurutnya, ia berpunca dengan peningkatan warga yang mula menyertai kegiatan itu dan ada yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Selain atas faktor trend, kian ramai yang mula berbasikal disebabkan moratorium bayaran pinjaman menyebabkan mereka mempunyai lebih wang untuk membeli basikal, selain setelah beberapa bulan kegiatan riadah dihadkan ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Penunggang baru kurang pengetahuan

Pada 18 September lalu, polis menerusi hantaran di media sosial memaklumkan mereka yang ingkar larangan berbasikal di lebuh raya boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Akta tersebut, yang berkenaan larangan terhadap mana-mana kenderaan di jalan-jalan tertentu, membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Turut setuju dengan larangan itu ialah Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Mohd Saiful Abdul Jalil yang mencadangkan alternatif lain seperti penyediaan lorong berbasikal yang selamat serta kempen berkongsi jalan raya.

Muhd Saiful

"Ramai penunggang baru yang kurang berpengetahuan atau kurang ambil tahu berkenaan arahan yang berkuatkuasa (dalam akta tersebut)," katanya yang pernah melihat perkara itu di sekitar Putrajaya.

Pada masa sama, dia turut mencadangkan waktu-waktu tertentu untuk penunggang basikal, sepertimana yang ditetapkan untuk kenderaan berat pada masa ini.

“Orang ramai sedia maklum kenderaan berat tidak boleh berada (di jalan tertentu) pada hari biasa, pada waktu pagi dan puncak.

“Mungkin waktu berbasikal di jalan persekutuan juga ditetapkan tempoh masanya," katanya lagi.

Sediakan alternatif

Sementara itu, Mohd Salman Muhammad, 34, dan Muhd Fahmi Muhd Redzuan Cheah, 30, sependapat bahawa berbasikal di lebuh raya adalah bahaya tetapi kerajaan perlu memberikan alternatif lain kepada penunggang basikal.

Mohd Salman yang sering berbasikal di jalan persekutuan berkata lebuh raya amat bahaya meskipun untuk kenderaan rosak yang berhenti di bahu jalan.

Mohd Salman

“Saya pun tak tahu kenapa penunggang baru masuk lebuh raya...Memang bahaya,” katanya yang berbasikal sehingga 200km sebulan sebagai persediaan menyertai pertandingan trialthon Ironman.

"Saya cadangkan buka Litar Antarabangsa Sepang untuk kegiatan berbasikal dan kalau perlu, bolehlah kenakan bayaran," katanya,sambil memberikan trek basikal Skylane Bangkok, terletak berhampiran Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan berjarak 23.5 kilometer sepusingan, sebagai contoh.

Selain menyediakan trek, Muhd Fahmi pula berkata kerajaan perlu menyediakan papan tanda jelas di kawasan yang dibenarkan untuk berbasikal.

“Itu antara pilihan..sediakan papan tanda atau trek basikal berbayar seperti cadangan di litar Sepang,” katanya yang telah berbasikal kira-kira tujuh tahun.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya akan berbincang dengan wakil penunggang basikal untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan selamat untuk mereka.

Dia berkata cadangan pelumba basikal negara, antara perkara yang akan dibincangkan adalah cadangan jaguh berbasikal negara Azizul Hasni Awang agar trek berasingan dibina untuk kegiatan itu.

“Dalam masa terdekat kita mungkin mengadakan sesi libat urus dengan komuniti riders ini serta pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mendapatkan pandangan.

“Dengan cara ini, kita boleh mencari jalan yang lebih tuntas agar tidak mengekang aktiviti sukan berbasikal ini...dan pada masa sama ia tidak akan membawa kepada sebarang bentuk bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Lihat Komen
ADS