Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan insiden keganasan polis dalam demonstrasi anti-kenaikan harga petrol pada 28 Mei lalu di Jalan Ampang berdekatan KLCC.

"Dalam mesysuarat bulan lalu kami memutuskan untuk menyiasat dakwaan keganasan polis pada demonstrasi," kata Pesuruhjaya Suhakam, SK Choo.

Butir-butir lanjut siasatan tersebut belum diputuskan namun menurut Choo, siasatan terbuka itu mirip siasatan yang dijalankan terhadap insiden kekerasan polis pada demonstrasi Lebuhraya Kesas pada tahun 2001.

Siasatan awam ini merupakan yang kelima dilakukan oleh Suhakam sejak ia ditubuhkan pada tahun 1999.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, siasatan awam itu akan dibatalkan jika dalam tempoh terdekat ini polis mengheret ke mahkamah mana-mana pihak berkaitan demonstrasi tersebut.

Di bawah undang-undang yang sedia ada, Suhakam dilarang menjalankan siasatan awam terhadap mana-mana aduan berkaitan pencabulan hak asasi manusia jika ia sedang dibicarakan di mahkamah.

Siasatan awam Lebuhraya Kesas bermula pada 29 November 2000 dan berjalan selama 20 hari melibatkan 46 saksi dari orang awam dan anggota polis.

Hasil daripada siasatan tersebut, Suhakam mengeluarkan laporan yang mengkritik keras cara polis mengendali dan menyuraikan demonstrasi tersebut. Polis didapati menggunakan kekerasan ketika menghalang kira-kira 100,000 penyokong reformasi yang sedang dalam perjalanan ke lokasi demonstrasi berkenaan.

Bagaimanapun tarikh siasatan yang terbuka kepada orang awam itu belum ditetapkan. Dijangka beberapa orang saksi kejadian dan pegawai polis akan dipanggil memberi keterangan.

Selain Choo, tiga orang lagi anggota panel siasatan awam itu ialah pesuruhjaya Zaitun Othman, KC Vohra dan Michael Yeoh.

Pada 28 Mei lalu, polis bersenjatakan cota dan perisai menolak dan memukul beberapa orang penunjuk perasaan ketika menyuraikan demonstrasi yang dihadiri kira-kira 500 orang itu.

Dua daripada mereka cedera parah, seorang menerima lima jahitan di kepala dan seorang lagi patah tangan

Sebelum ini Suhakam menyatakan ia akan memutuskan samaada akan membuat siasatan awam atau tidak selepas menerima laporan akhir siasatan dalaman polis mengenai insiden tersebut. Berita asal