Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Shafie dilanda sentimen antimigran, Muhyiddin bergelut wujudkan kesatuan

PRN SABAH | Dengan kempen memasuki pusingan terakhir, kedua-dua pesaing utama iaitu Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih bergelut dengan masalah tersendiri.

Warisan Plus yang diketuai ketua menteri sementara Mohd Shafie Apdal terus berdepan sentimen antipendatang asing, terutama di sepanjang pantai barat dan pedalaman Sabah.

Pada PRU lalu, parti itu mencatatkan pencapaian yang baik di kawasan bandar atau yang memiliki pengundi Bajau yang ramai, membawa kepada persepsi di kalangan masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) bahawa parti itu didominasi mereka yang berketurunan Bajau-Filipina.

Tinjauan rambang oleh Malaysiakini di kawasan KDM mendapati ramai pengundi percaya Shafie memiliki keturunan asing - sentimen yang dijadikan senjata oleh pesaingnya.

Dia berulang kali menafikan dakwaan itu dan malah menyatakan kubur nenek moyangnya terletak di Semporna.

"Saya bersama BN dulu. Ketika itu saya digelar pejuang. Kini bila tak lagi bersama, tiba-tiba saya jadi orang asing," katanya dalam satu program. Shafie adalah naib presiden Umno sebelum dipecat pada 2015.

Prasangka masyarakat KDM terhadap kalangan yang memiliki latar belakang migran tercetus daripada "Projek IC" pada era 1990-an. Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat perkara itu memutuskan projek tersebut membabitkan pegawai kerajaan yang korup, yang memberikan status warga kepada migran yang tidak layak dan seterusnya mengubah demografi Sabah.

Walaupun Shafie tidak pernah dipersalahkan atas perkara itu, dia adalah sebahagian daripada kerajaan PH yang cuba mewujudkan Pas Sabah Sementara (PSS) kepada warga asing tanpa dokumen di negeri itu.

Sejumlah pihak mendakwa ia merupakan usaha untuk memberikan kewarganegaraan kepada mereka.

Untuk rekod, PSS dikendalikan Kementerian Dalam Negeri yang dipimpin Muhyiddin pada masa itu. Ia dibatalkan oleh kerajaan PH pada Januari lalu.

Isu tersebut dibangkitkan secara meluas dalam PRK Kimanis pada bulan yang sama. Dalam PRK itu, Warisan dilihat hilang sokongan di kalangan masyarakat bumiputera bukan Islam.


PANDUANKINI: Apa itu PSS, kenapa ia penting untuk PRK Kimanis?


Mengetuai serangan balas Warisan Plus ialah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang meletakkan 12 calon dengan kebanyakannya bertanding di kawasan majoriti KDM.

Namun walau di kubu kuat Upko seperti Kiulu sekalipun, terdapat cakap-cakap tidak puas hati di kalangan pengundi berkenaan kaitan parti itu dengan Warisan dan masalah yang dicetuskan pendatang asing.

Kempen berasingan

Sementara itu, GRS bergelut untuk menunjukkan gabungan itu sebagai alternatif yang padu dan mapan kepada Warisan Plus.

Parti-parti yang membentuk GRS bertembung sesama sendiri di 17 kerusi manakala komponen utamanya - BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Perikatan Nasional (PN) - pada kebanyakan masa berkempen secara berasingan.

BN mengangkat Bung Moktar Radin sebagai calon ketua menteri jika GRS menang dalam PRN kali ini. Mereka juga menggunakan slogan "Ubah balik" sepanjang kempen.

Sementara itu, PN membangkitkan Muhyiddin Yassin sebagai pemimpinnya dengan mesej seputar mengekalkan hubungan baik antara Sabah dan Putrajaya.

PBS pula menonjolkan kedudukannya sebagai satu-satunya parti tempatan dalam GRS serta sentimen kalangan yang masih mengingati zaman gemilang parti itu pada era 1990-an.


Rakyat jadi penentu: PRN Sabah 2020


Terdapat usaha untuk mengendurkan ketegangan dalam GRS pada Rabu lalu dengan pelancaran "aku janji" yang dihadiri PN, BN dan PBS. Ia disusuli dengan perjanjian kerjasama antara PN dan PBS.

Bagaimanapun setakat hari ini PBS dengan jelas mengatakan parti itu tidak akan menarik diri dari mana-mana kerusi hanya untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Masalah dalaman GRS menjadi antara senjata kempen Warisan Plus. Misalnya Shafie berkata tidak berbaloi untuk menyokong gabungan sesama itu dan ia sukar untuk mentadbir dengan baik.

Personaliti dan sentimen

Dengan kempen yang hanya tinggal lima hari lagi, faktor penentu barangkali populariti calon atau sentimen pengundi terhadap mana-mana parti.

Malaysiakini turut mendapati yang pengundi cenderung untuk menilai parti dari segi ideologi. Misalnya Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dianggap sebagai "anti-Malaya" dan itu menarik sokongan di kalangan masyarakat KDM yang mempunyai sentimen sama.

Keputusan politik yang dipacu sentimen tidak semestinya bermaksud keputusan yang baik seperti yang ditunjukkan beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini yang percaya Shafie masih lagi ahli Umno.

Tetapi politik Sabah cair sifatnya seperti yang dilihat dalam acara menukar sokongan yang dibuat secara terbuka sepanjang kempen.

Ia barangkali mencerminkan sokongan yang tidak berkekalan terhadap parti mahupun personaliti yang boleh saja diterjemahkan ke penti undi pada 26 September ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS