Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kubur nenek moyang saya di Semporna, bukan di Jepun'

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal sekali lagi menyelar pihak-pihak yang menggelar Warisan sebagai parti PTI (pendatang tanpa izin).

Menyebut nama-nama tokoh politik seperti bekas ketua menteri, Musa Aman; presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Anifah Aman dan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jefrrey Kitingan, Shafie memberikan amaran keras kepada mereka agar jangan keterlaluan.

"Kuburnya nenek-nenek saya, nenek-moyang saya, di Semporna, bukannya di Jepun. Yang saya digelar ini PTI, mana nenek si Musa Aman? Mana nenek Anifah Aman?

"Saya tak mahu sebut. Tapi janganlah keterlaluan sampai mencaci menghina saya," katanya.

Dia berkata demikian ketika berucap di program Santai Pagi bersama Presiden Warisan, di Kunak hari ini.

Malaysiakini sedang menghubungi Musa, Anifah dan Jeffrey bagi mendapatkan reaksi mereka.

Kata ketua menteri Sabah itu, menurut perlembagaan negeri Sabah, Bajau dikategorikan sebagai anak negeri (native) bumi Sabah.

"Mereka gelar parti Warisan parti PTI. Apa mereka ingat? Bajau saya ini, bekas menteri, bekas timbalan menteri pertahanan. Mana mungkin saya boleh menjadi timbalan menteri pertahanan kalau saya PTI," katanya.

Ini bukan kali pertama Shafie bersuara hal ini, malah sebelum ini pernah memberi amaran akan menyaman pihak yang membuat dakwaan sedemikian.

Pada Mei 2018, Jeffrey pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pendatang haram teruja apabila Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri dan membangkitkan kemungkinan bilangan pendatang haram yang menjadi warganegara akan meningkat secara drastik.

Jeffrey pada Jun lalu turut mendakwa Warisan menggunakan sokongan pendatang haram untuk terus berkuasa.

Anifah semasa berkempen mengenai pas sementara Sabah (PSS) kepada PTI, semasa PRK Kimanis, juga pernah berkata bahawa undi untuk Warisan ibarat mengkhianati anak-anak Sabah.

Warisan tewas dalam PRK itu.

PSS dijadikan modal kempen oleh BN dalam PRK Kimanis, Januari lalu, sehingga berjaya mempertahankan kerusi mereka di situ.

PSS sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Jun lalu, bagi menggantikan dokumen warga asing yang lain di Sabah, iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang masing-masing dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

IMM13 ialah dokumen buat pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an akibat pergolakan di negara asal, Kad Burung-Burung pula untuk pendatang ekonomi pada 1980-an, manakala Sijil Banci dikeluarkan buat pendatang lain pada 1990-an.

Bagaimanapun, pelaksanaan PSS dibatalkan selepas kekalahan Warisan dalam PRK Kimanis. 

Isu PTI dan penduduk tanpa kerakyatan sememangnya menjadi isu di Sabah sejak sekian lama.

Sabah mempunyai 28 peratus penduduk bukan warganegara - angka yang jauh mengatasi kadar bukan warganegara di semua negeri lain. 

Lihat Komen
ADS