Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pairin buka langkah raih sokongan untuk calon PBS

PRN SABAH | Bekas ketua menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan hari ini memulakan langkahnya berkempen untuk calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diasaskannya.

Pada awalnya, penasihat perdana PBS itu ke kubu kuatnya di DUN Kiulu yang dimenangi PBS sejak penubuhannya pada 1986.

Pada sebelah petangnya pula, Kitingan pergi ke DUN Moyog, ke kawasan separuh bandar di parlimen Penampang yang dimenangi Timbalan Presiden Warisan Ignatius Darell Leiking pada PRU 2018.

Kitingan dalam ucapannya selama 45 minit di Kiulu mengingatkan 150 hadirin yang hadir bagaimana parti yang diasaskannya itu bangkit untuk melawan kerajaan negeri yang 'zalim'.

"Terdapat sekatan (terhadap kebebasan) beragama dan kemasukan pendatang tanpa izin. Rakyat tidak senang. PBS diwujudkan oleh orang-orang untuk melawan kezaliman dan ketidakadilan," katanya.

Beliau juga menjelaskan bagaimana PBS, sebuah parti pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri pada pilihan raya 1985 dan diganggu oleh kerajaan persekutuan ketika itu.

Menurut Kitingan, PBS kini mengadakan siri jelajahnya dalam usaha menyelamatkan Sabah berhubung isu keselamatan dan pendatang tanpa izin.

Kebanyakan hadirin yang hadir mendengar ucapan Pairin terdiri daripada pengundi dan penyokong berusia dalam pertengahan umur berpakaian kemeja dan bertopi putih, mendengar ucapannya dengan tenang sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Majlis ini turut menyaksikan kira-kira sepuluh ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan negeri, mengumumkan menyertai PBS.

Seorang hadirin warga emas dengan bangga menunjukkan kepada Pairin topi parti PBS pertama, yang disimpannya selama 35 tahun.

PBS, sebuah parti pembangkang yang berkuasa di Sabah pada tahun 1985 tetapi kehilangan pengaruh selepas bergabung dengan BN. Kali ini, parti itu memilih untuk menggunakan logo sendiri dengan mengemukakan isu maruah negeri dan pendatang tanpa izin.

Pairin, yang juga Huguan Siou (pemimpin agung masyarakat Kadazan Dusun) nampaknya mengambil alih peranan sebagai juru kempen utama bagi semua calon PBS sementara ketiadaan sepupu yang juga Presiden PBS Maximus Ongkili.

Pemimpin berusia 80 tahun itu menegaskan parti itu tidak akan menarik diri daripada kerusi yang ditandinginya.

Ini selepas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin itu mendakwa Gabungan Rakyat Sabah - yang terdiri daripada BN, PN dan PBS - akan mencapai kata sepakat esok untuk tidak bersaing di 17 kerusi yang sebelum ini mereka bertembung.

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali pula berkata rundingan antara parti-parti naungan GRS untuk menyelesaikan pertikaian di 17 kerusi DUN masih berjalan.

Di bawah Seksyen 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, calon hanya boleh menarik diri sebelum jam 10 pagi pada hari penamaan calon.

Oleh itu, rundingan yang sedang berlangsung dirancang supaya beberapa calon GRS yang bertembung sesama sendiri menarik diri dengan secara terbuka menyokong calon GRS lain di 17 kerusi DUN berkenaan.

Pairin berceramah di Kiulu yang ditandingi penyandangnya selama dua penggal, Joniston Bangkuai.

DUN Kiulu akan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan Joniston dan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga anggota Parlimen Tuaran, Madius Tangau, Dr Rozylyn @ Rosalyn Gelunu daripada Parti Liberal Demokratik (LDP), Andau Yasun@Bruno daripada Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon Bebas, Dominic Yasun serta Jolianis Lampos.

Menurut seorang pegawai PBS, Pairin memilih Tulid, kerusi baru yang diwujudkan di bawah Parlimen Pensiangan yang dipegang kuat oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pegawai parti itu juga berkata Pairin juga akan pergi ke Tamparuli, Inanam dan Limbahau esok.

Difahamkan, Pairin juga mungkin akan pergi ke tempat kelahiran PBS di Tambunan, kerusi DUN yang disandang Pairin sendiri sehingga pilihan raya 2018 apabila beliau tewas kepada adiknya Jeffrey Kitingan.

Untuk rekod, parti-parti dalam GRS sebelum ini dijangka bertembung di 11 kerusi namun bilangan itu meningkat kepada 17 setelah penamaan calon pada 11 September lalu.

PN kekal bertanding di 29 kerusi seperti yang dipersetujui, bagaimanapun PBS yang pada mulanya berjanji meletakkan 15 calon akhirnya bertanding di tujuh DUN lagi.

BN pula yang bersetuju bertanding di 40 kerusi DUN kemudian bertanding di satu lagi kerusi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS