Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit filem tawar hadiah buat pendedah dalang cetak rompak AADD

Penerbit Ada Apa Dengan Dosa (AADD) Normashayu Puteh menawarkan imbuhan lebih RM5,000 kepada mana-mana pihak yang berani tampil mendedahkan dalang yang bertanggungjawab menyebarkan filem itu tanpa kebenaran.

Pendekatan itu yang terbaru diambilnya selepas syarikat produksi terbabit, Pencil Pictures And Records Sdn Bhd (PPAR), menyaman pemilik laman e-dagang Shopee Mobile (M) Sdn Bhd (Shopee) atas dakwaan melanggar hak cipta eksklusif baru-baru ini.

Normashayu - atau lebih dikenali sebagai Ayu - berkata, jumlah yang akan diberikan pula bergantung kepada seberapa banyak maklumat diperoleh sehingga tertangkapnya dalang terbabit.

“Saya menyeru sesiapa yang ada maklumat atau tahu siapa sebenar penjenayah digital ni agar tampil memberikan kerjasama kerana saya nak berikan wang ganjaran RM5,000 atau mungkin lebih.

“Jumlah itu bergantung kepada berapa banyak maklumat tepat boleh dikongsikan.

“Jika maklumat tersebut boleh membawa kepada penangkapan dalang terbabit, jumlah ganjaran akan diberikan pula adalah melebihi nilai RM5,000,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Ayu berkata, pihaknya tidak akan melayan sekiranya maklumat yang diberikan didapati palsu.

Sebelum ini PPAR mengemukakan saman pelanggaran hak cipta eksklusif terhadap Shopee kerana didakwa mengedar dan menjual filem keluaran syarikat itu dalam platform e-dagang itu dengan harga serendah 80 sen.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 September lalu.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan itu, PPAR selaku plaintif menamakan Shopee sebagai defendan tunggal.

AADD arahan Rahila Ali itu sepatutnya ditayangkan di pawagam namun tergendala akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sebelum ini. PPAR kemudian memutuskan untuk menayangkan filem berkenaan melalui Astro First.

Bagaimanapun, plaintif berkata, selepas hampir sebulan filem itu ditayangkan di saluran tersebut, pada 2 Julai pengarahnya dimaklumkan berlaku pelanggaran hak cipta oleh defendan.

Filem tersebut sudah dipadam dari Shopee dan mereka memaklumkan sudah mengambil langkah tegas bagi menyelesaikan isu penjualan filem cetak rompak. 

Mengulas saman tersebut, ibu kepada pelakon dan penyanyi Wanna Ali itu berkata, gejala cetak rompak masih meresahkan karyawan kerana mereka bergantung hidup kepada jualan produk dihasilkan.

Kata Ayu, dia serius mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap isu cetak rompak apatah lagi ia membabitkan produk syarikatnya walaupun tahu kesukaran perlu ditempuhi untuk menangkap pihak yang bertanggungawab.

“Sebagai penerbit dan pemilik halal, saya harus bertindak. Nak menangkap pencuri dalam ‘alam bunian’ memang susah.

“Justeru, kita juga kena guna cara orang di alam bunian,” katanya sinis.

Lihat Komen
ADS