Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shopee singkir penjual ingkar, senarai hitam kata kunci

Penyedia perkhidmatan e-dagang Shopee memaklumkan mereka mengambil langkah tegas bagi menyelesaikan isu penjualan filem cetak rompak.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata penjual yang melanggar undang-undang dan peraturan tempatan atau dasar penyenaraian mereka yang ketat turut akan disingkirkan dari platform terbabit.

“Penyenaraian itu telah disingkirkan dan penjual yang terlibat diharamkan daripada Shopee.

“Kami juga telah menyenarai hitam sebarang kata kunci yang berkaitan bagi memintas percubaan baru untuk menjual dan membeli barangan yang seumpamanya sambil memberi peringatan kepada penjual bahawa penjualan barangan cetak rompak tidak dibenarkan di platform kami,” katanya.

Semalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang giat memburu penjual filem cetak rompak di platform e-dagang di negara ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas dua filem terbitan Astro First, Keluarga Iskandar The Movie dan Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dicetak rompak dan dijual secara terbuka di Shopee pada harga serendah RM1.

Hari ini, penerbit AADD, Ayu Puteh, menyatakan hasratnya untuk menyaman Shopee sebanyak RM50 juta kerana tidak berpuas hati terhadap insiden tersebut.

Katanya kejadian itu membuatkan hatinya panas dan tidak boleh dikawal selepas membelanjakan jutaan ringgit untuk menghasilkan filem tersebut dengan baik. 

Ho berkata, Shopee tidak dapat mengulas secara terperinci berhubung isu tersebut kerana proses undang-undang berkaitan sedang berlangsung.

Namun, menurutnya, Shopee tetap komited menyediakan persekitaran membeli-belah yang selamat dan terkawal kepada semua pengguna.

“Kami mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap penjualan barangan terlarang di platform kami.

“Kami mempunyai proses yang ketat untuk mencegah barangan yang melanggar dasar kami atau peraturan tempatan daripada disenaraikan di Shopee," katanya.

Menurut Ho lagi, dasar penyenaraian mereka juga dikaji dan diperkemas secara berkala agar bersesuaian dengan undang-undang dan peraturan Malaysia.

“Dalam kes terpencil, apabila pihak tidak bertanggungjawab berjaya mengelak proses saringan, kami akan mengambil tindakan segera demi melindungi komuniti Shopee,” katanya.

Lihat Komen
ADS