mk-logo
Berita
Cabar lantikan speaker di mahkamah untuk panduan parlimen - Peguam Dr M

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi mendengar hujah bahawa cabaran undang-undang oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan empat yang lain terhadap pelantikan Speaker Parlimen Azhar Azizan Harun bertujuan mendapatkan panduan untuk parlimen mengenai isu tersebut.

Peguam lima plaintif berkenaan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah mengenai perkara ini terhadap permohonan oleh Azhar dan tiga defendan lain untuk membatalkan saman pemula yang menyasarkan kesahihan bukan sahaja pelantikan Azhar tetapi juga pelantikan Timbalan Speaker Azalina Othman Said.

Haniff melakukan hujahan balas terhadap keempat-empat defendan yang mahu membatalkan saman tersebut dengan alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara berkaitan dengan prosiding parlimen.

Pada 23 Julai, plaintif - Dr Mahathir yang juga ahli parlimen Langkawi, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh - memfailkan saman berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain Azhar, yang juga dikenali sebagai Art Harun, saman pemula itu turut menamakan Ahli Parlimen Pengerang Azalina, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon, dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, sebagai defendan.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan keempat-empat defendan untuk membatalkan saman tersebut.

Dilaporkan Azhar dan Rashid berusaha untuk mengetepikan tindakan undang-undang itu dengan alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghakimi perkara yang melibatkan proses parlimen.

'Saman tak akan lumpuhkan Dewan Rakyat'

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid petang ini, Haniff berhujah tindakan undang-undang itu tidak meminta perintah mahkamah agar speaker parlimen atau timbalan speaker sekarang mengosongkan kerusi mereka.

"Kami tidak meminta mahkamah untuk menolak keputusan atau ketetapan speaker dan timbalan speaker pada 13 Julai (sidang parlimen ketika Azhar dan Azaline dilantik ke jawatan masing-masing).

"Tetapi perintah dan perisytiharan (yang diminta oleh lima plaintif) akan membantu Dewan (Dewan Rakyat) untuk menafsirkan undang-undang dengan betul," kata Haniff.

“Apakah kami pada saat ini memohon mahkamah untuk mengganggu kerja parlimen? Tidak. Ini dinyatakan dalam afidavit sokongan (tindakan undang-undang ini).

"Panduan daripada mahkamah ini diperlukan untuk membimbing speaker dan timbalan speaker dalam sidang Dewan Rakyat," kata Haniff.

Peguam itu selanjutnya berhujah hasil tindakan undang-undang itu tidak akan melumpuhkan perjalanan Dewan Rakyat kerana institusi itu masih mempunyai Rashid sebagai timbalan speaker.

Saman pemula itu antara lain menyasarkan kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina sebagai speaker dan timbalan speaker, tetapi tidak menyasarkan kesahihan jawatan Rashid sebagai timbalan speaker.

Peguam Amer Hamzah Arshad (gambar, bawah), yang mewakili Azhar dan Rashid, kemudian membantah, berhujah jika mahkamah mengizinkan tindakan undang-undang itu diteruskan, maka ia seakan mengambil kuasa parlimen yang bertentangan dengan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam itu berhujah Perkara 62 menetapkan setiap Dewan Parlimen perlu mengatur urusannya sendiri, yang meliputi Perintah Tetap.

Hujah Amer lagi, kelima-lima plaintif datang ke mahkamah kerana tidak setuju speaker menafsirkan Perintah Tetap (berkaitan dengan pelantikan), yang menurutnya melanggar Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan.

Pada penghujung prosiding hari ini, hakim Ahmad menetapkan 10 November depan untuk keputusan permohonan membatalkan saman pemula tersebut.

Peguam Tania Scivetti hadir mewakili Azalina dan Nizam Mydin pada prosiding hari ini.

Kelima-lima plaintif menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah dan bertentangan dengan perintah tetap Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka meminta pengisytiharan bahawa berikutan pengosongan jawatan speaker yang sebelumnya dipegang oleh Mohamad Ariff Md Yusof, semua anggota parlimen mesti diberi peluang untuk mencari calon bagi mengisi jawatan tersebut.

Kelima-lima plaintif juga mahukan pengisytiharan bahawa jawatan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat masih kosong sejak 13 Julai.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS