Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Tak perlu tangguh PRN, keadaan Sabah terkawal - KKM

Situasi jangkitan Covid-19 di Sabah masih terkawal ketika ini dan tiada keperluan untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) Sabah, kata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan berharap dapat mengekang penyebaran Covid-19 setelah pilihan raya berakhir pada Sabtu ini.

"Hari pengundian tiga hari lagi, jadi kami berharap kami dapat mengawalnya selepas pilihan raya.

"Setelah pilihan raya, kami akan melakukan pengawasan lain. Dan saya akan pastikan kita memantau situasi ini, apakah kita perlu melakukan tindakan lain.

"Jadi saya fikir setakat ini ... Dari penilaian KKM ... Dari pengawasan kami, keadaan masih terkawal," katanya pada sidang media di Putrajaya.

Noor Hisham berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berhubung keperluan untuk menangguhkan PRN Sabah susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Covid-19 kembali mencatatkan kenaikan di Malaysia, dengan 82 kes baru setakat tengah hari ini dan Sabah terus merekod kenaikan dengan 60 kes baru Covid-19 dan satu lagi kluster baru yang dirujuk sebagai Kluster Bangau-bangau telah dikesan di Semporna.

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 berlaku ketika rakyat Sabah sedang bersiap untuk mengundi pada Sabtu ini, sekali gus menyaksikan ahli politik dari seluruh negara berkempen untuk calon masing-masing.

"Setakat ini kita sudah memantau dan mengawasi situasi di sana dan kami berpendapat jangkitan dapat dikawal, dikurangkan.

"Apa yang penting semua pihak, tidak kira petugas barisan hadapan atau orang awam, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Jika ia dipatuhi, kita akan berjaya memutuskan rangkaian jangkitan," jelas Noor Hisham.

Awal hari ini, Putrajaya mengumumkan rakyat Sabah yang memiliki gejala seperti demam atau batuk serta mereka yang berada di dalam kuarantin dibenarkan mengundi pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, mereka yang positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata satu saluran khas mengundi dibuat untuk pengundi yang tidak sihat dan bergejala.

Diminta mengulas apakah pesakit positif Covid19 mempunyai pilihan untuk turut sama mengundi, Norr Hisham berkata mereka yang disahkan positif mempunyai kadar kebolehjangkitan yang sangat tinggi.

Malah, kata Noor Hisham itulah sebabnya KKM melarang orang awam melawat pesakit Covid-19 di hospital.

"Kes positif telah diputuskan untuk tidak keluar mengundi dan kalau nak laksanakan undian dalam hospital, hospital perlu digazetkan terlebih dulu.

"Setakat ini hospital tidak diwartakan sebagai pusat pengundian," katanya.

Menjelang hari pengundian Sabtu ini, Noor Hisham berkata pihaknya telah bekerjasama rapat dengan beberapa agensi lain bagi memastikan proses perjalanan pilihan raya berjalan lancar.

Antara usaha yang dilakukan pihaknya termasuk meningkatkan aktiviti pengesanan kes aktif, terutama di daerah yang telah dikenal pasti berlaku peningkatan kes seperti di Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Bagi pengundi yang mempunyai gejala dan mereka yang berada di bawah tempoh kuarantin, Noor Hisham berkata pihaknya telah menyediakan kaunter khas untuk kumpulan tersebut.

Kaunter itu juga akan dikendalikan oleh kakitangan KKM dengan peralatan perlindungan diri sepenuhnya untuk membantu pengundi, tambahnya.

Menurut Noor Hisham, ini juga bukan kali pertama rakyat mengundi di bawah pengawasan dan pemantauan ketat KKM ketika hari pengundian.

Katanya, pihaknya telah menjalankan beberapa pilihan raya sebelum ini.

Untuk rekod, sejak penularan kes Covid19 di Malaysia awal tahun ini, terdapat dua pilihan raya kecil dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu PRK Chini dan Slim.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS