Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Saya PM selagi Anwar tak buktikan majoriti
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 4:57 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Muhyiddin Yassin menegaskan yang dia masih lagi memegang jawatan perdana menteri selagi Anwar Ibrahim tidak membuktikan mempunyai majoriti cukup.

"Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

"Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan PN masih berdiri teguh dan saya adalah perdana menteri yang sah," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Terdahulu Anwar mengumumkan bahawa dia mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Presiden PKR itu membuat pengumuman berkenaan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini.

Menjawab soalan wartawan, Anwar berkata majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

"Jumlahnya (sokongan) kukuh dan menyakinkan, jauh daripada majoriti kecil.

"Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya ketika sidang media

Dalam pada itu Muhyiddin meminta rakyat supaya bertenang menghadapi situasi politik ketika ini dan yakin ia akan diselesaikan dengan baik.

"Insya-Allah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Sementara itu dalam satu kenyataan bersama membabitkan setiausaha agung parti yang bekerjasama dalam PN, mereka menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

"Semua parti yang bekerjasama dalam Kerajaan PN iaitu BN, Bersatu, PAS Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) hari ini kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin.

"Justeru, gabungan parti yang membentuk kerajaan PN ini menyangkal dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini," kata kenyataan itu.

Jelasnya tindakan terbaru Anwar menyerlahkan sikap "rakus dan gila kuasanya" dan tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Lihat Komen
ADS