Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi pemimpin Umno gesa PRU mengejut
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 11:38 PM
Dikemaskini: 3:38 PM

Pengumuman yang dibuat oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini mendakwa mempunyai majoriti sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru, mengundang gesaan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) megejut.

Gesaan itu antara lain datang daripada Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, yang mengatakan bahawa kuasa memilih harus dikembalikan kepada pengundi.

"Tidak mungkin Anwar akan menjadi perdana menteri tidak kira berapa ahli parlimen dan dari parti mana yang menyokongnya.

"Mari kita selesaikan pilihan raya negeri Sabah terlebih dahulu, dan kemudian kita harus membiarkan rakyat membuat pilihan mereka. Yang di-Pertuan Agong harus mengumumkan diadakan pilihan raya umum mengejut," katanya di Twitter.

Annuar, yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh dan anggota kabinet Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin, sebelumnya telah membuat gesaan serupa pada bulan Mac.

Kerajaan PN baru berusia dua minggu ketika itu.

Dia mengatakan bahawa pembubaran parlimen diharapkan dapat membuka pintu depan bagi PN, di tengah-tengah tuduhan bahawa ia adalah kerajaan pintu belakang.

Namun, Annuar ketika itu menafikan bahawa dia menggesa pembubaran Dewan Rakyat dengan segera.

Ahli politik lain yang menginginkan pilihan raya diadakan ialah Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman, yang juga berasal dari BN.

Dia telah memberitahu Malaysiakini awal hari ini bahawa pilihan raya baru akan menjadi penyelesaian terbaik untuk kemelut politik negara.

Sementara itu, PAS, yang juga merupakan sebahagian daripada kerajaan PN, mengeluarkan kenyataan yang dilihat sedikit berbeza.

Presidennya Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan mengatakan bahawa semua 18 Ahli Parlimen PAS menyokong penuh kepemimpinan Muhyiddin, dan mengatakan bahawa presiden Bersatu itu masih menjadi perdana menteri yang sah seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Pada masa sama, PAS akan terus memperteguhkan setiakawan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

"Seterusnya PAS mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung usaha Kerajaan Perikatan Nasional menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara secara bersama," katanya.

Muafakat Nasional adalah pakatan politik yang terdiri daripada PAS, Umno dan Bersatu.

Sementara itu, bekas anggota majlis tertinggi Bersatu Rais Yatim meminta Anwar membuktikan jumlah sokongannya di Dewan Rakyat.

Dia mengatakan bahawa parlimen adalah tempat untuk menegaskan dakwaan sedemikian.

"Dakwaan Anwar secara tiba-tiba tentang sokongan majoritinya sebaiknya diuji di parlimen dan bukannya akuan bersumpah yang boleh dipersoal kesahihannya," kata Rais di Twitter.

Seruan serupa dibuat oleh pemimpin veteran Umno engku Razaleigh Hamzah, yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang.

Dia mengatakan bahawa anggota parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat, tidak kira sama ada mereka mempunyai akuan bersumpah dari ahli parlimen.

"Ini semua tidak berkmakna. Lucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentu dalam Dewan Rakyat dengan ahli yang dapat hadir sendiri mengundi dan tidak boleh dilakukan secara proksi atau diwakili melalui surat sumpah.

"Perdana Menteri mesti mengadap Agung apabila beliau hilang sokongan untok meletak jawatan PM dan mohon sama ada untuk Agong bubar Parlimen untuk mengadakan PRU atau melantik Ahli Parlimen lain yang Tuanku berpendapat mempunyai sokongan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat.

"Terpulang kepada Agong. Ahli ahli Parlimen tidak boleh ikut sesuka hati masing-masing, walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup, pandai-pandai mahu tubuh kerajaan tanpa dijemput oleh Agong berbuat demikian. Itulah caranya," katanya.

Lihat Komen
ADS